Tiga pelajar sekolah cedera termasuk seorang parah selepas van yang membawa 11 pelajar terkena letupan bom di wilayah Satun, Thailand, pagi Rabu.
Kejadian berlaku kira-kira jam 7 pagi apabila bom yang dipercayai diletakkan berhampiran tiang elektrik di kawasan Ban Khiriwong meletup sebelum mengenai van berkenaan.
Ketua Polis Bahagian Ke-9, Leftenan Jeneral Polis Piyawat Chalermsi berkata, semua mangsa dikejarkan ke Hospital Thung Wa untuk mendapatkan rawatan.
"Semua mangsa dikejarkan ke Hospital Thung Wa untuk rawatan, manakala laluan berkenaan ditutup sementara bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan pemeriksaan dan siasatan," katanya kepada pemberita pada Rabu.
Dalam perkembangan berkaitan, lapan insiden pengeboman dan pembakaran turut dilaporkan berlaku di lima daerah di wilayah Yala kira-kira jam 9 malam Selasa.
Serangan itu menyasarkan pejabat pentadbiran tempatan, kenderaan kerajaan dan beberapa kemudahan awam.
Ketua Polis Wilayah Yala, Mejar Jeneral Polis Sakda Charengkul berkata, kejadian membabitkan pengeboman dan pembakaran bangunan pentadbiran mukim, selain pembakaran tayar serta serangan terhadap kamera litar tertutup (CCTV), menara telekomunikasi dan kenderaan milik pihak berkuasa tempatan.
"Dalam satu kejadian di daerah Mueang Yala, sekumpulan lelaki bertopeng dan bersenjata api menahan lima pengawal keselamatan sebelum mengikat tangan mereka dan menyerang bangunan pentadbiran mukim," katanya.
Menurutnya, serangan berkenaan mengakibatkan kerosakan teruk terhadap bangunan serta harta benda kerajaan termasuk jentera bomba, lori sampah, kenderaan pacuan empat roda dan beberapa kenderaan rasmi lain.
Sementara itu, di wilayah Songkhla, tiga tiang elektrik voltan tinggi turut menjadi sasaran letupan bom kira-kira jam 7 pagi Rabu.
Kejadian dilaporkan berlaku di daerah Sadao, Chana dan Na Mom sehingga menyebabkan tiang berkenaan tumbang dan menghalang laluan pengguna jalan raya.
Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden di Songkhla.
Setakat ini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab terhadap siri serangan berkenaan, manakala pihak berkuasa Thailand masih menjalankan siasatan.
Sumber: Bangkok Post
