Seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun dari Tanah Merah kini mengharapkan bantuan orang ramai untuk menjejaki ibu kandungnya yang dipercayai berada di Selatan Thailand selepas terpisah sejak pandemik Covid-19.
Kanak-kanak berkenaan, Miss Waehasriyah Ahama, dilaporkan sudah terputus hubungan dengan ibunya, Miss Hameedah, sejak sekitar 2020 hingga 2021.
Bapa angkatnya, Sayuti Mustafa, 55, berkata, dia bersama isterinya, Kuechi Romuela, 50, kali terakhir bertemu wanita berkenaan ketika pandemik Covid-19 sebelum hubungan mereka terputus.
Menurutnya, mereka sekeluarga yang menetap di Kampung Padang Siam, Tanah Merah hanya mengetahui ibu kandung kanak-kanak itu dipercayai berada di Selatan Thailand.
Bagaimanapun, pelbagai usaha untuk mengesan wanita berkenaan masih belum membuahkan hasil sehingga kini.
Sehubungan itu, Sayuti merayu bantuan orang ramai yang mungkin mengenali atau mempunyai maklumat mengenai keberadaan Miss Hameedah supaya dapat membantu mempertemukan semula ibu dan anak berkenaan.
"Kepada mereka yang mengenali atau mengetahui di mana Miss Hameedah boleh hubungi kami di talian 013-9153674," katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi keluarga berkenaan menerusi nombor telefon tersebut.
Sumber: Sinar Harian
