Kesemua 50 daerah di Bangkok, Thailand, kini diisytiharkan sebagai zon bencana susulan hujan lebat berterusan yang menyebabkan banjir di beberapa kawasan.
Pengisytiharan itu dibuat oleh Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) selepas keadaan banjir turut mengakibatkan gangguan lalu lintas dan menjejaskan kehidupan harian penduduk di ibu negara Thailand berkenaan.
Sebelum ini, hanya tiga daerah ditetapkan sebagai kawasan terjejas bencana.
Hujan Lebat Berterusan Cetus Banjir
Gabenor Bangkok, Chadchart Sittipunt berkata, peluasan pengisytiharan kepada semua 50 daerah dibuat bagi membolehkan agensi kerajaan, organisasi serta badan pentadbiran tempatan berkaitan mengambil tindakan dengan lebih pantas dan sistematik.
“Peluasan pengisytiharan itu dibuat susulan hujan lebat berterusan yang mengakibatkan banjir, kesesakan lalu lintas serta gangguan terhadap kehidupan harian penduduk Bangkok.
“Keadaan itu berpotensi mengancam nyawa, keselamatan serta harta benda awam dan kerajaan, justeru peluasan pengisytiharan meliputi kesemua 50 daerah dianggap perlu bagi memastikan pengurusan bencana yang berkesan dan operasi tindak balas dapat dilaksanakan dengan segera,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Orang Ramai Diminta Duduk Di Rumah
Dalam pada itu, Chadchart menggesa orang ramai supaya berada di rumah kecuali jika mempunyai keperluan untuk melakukan perjalanan.
Nasihat itu dikeluarkan susulan beberapa jalan utama di Bangkok masih dinaiki air dengan teruk.
Keadaan banjir dan kesesakan lalu lintas yang berlaku turut menyebabkan perjalanan harian penduduk terjejas.
Dengan pengisytiharan kesemua 50 daerah sebagai zon bencana, agensi berkaitan kini boleh melaksanakan tindakan pengurusan dan operasi tindak balas bencana dengan lebih segera mengikut keperluan di kawasan masing-masing.
Sumber: Bernama
