Barisan Revolusi Nasional Melayu Pattani (BRN) memberi amaran akan kembali kepada perjuangan bersenjata bagi mendapatkan kemerdekaan Selatan Thailand sekiranya kerajaan Thailand menolak tuntutan autonomi penuh bagi tiga wilayah bergolak.
Menurut laporan Utusan, bekas pemimpin tertinggi BRN berkata, tuntutan kemerdekaan sebelum ini telah diketepikan dan digantikan dengan cadangan supaya autonomi penuh diberikan kepada Narathiwat, Pattani dan Yala.
Menurutnya, tuntutan kemerdekaan akan kembali menjadi teras perjuangan BRN sekiranya kerajaan Thailand benar-benar menolak cadangan autonomi tersebut.
“Kita (BRN) dah undur (gugurkan) tuntutan kemerdekaan dan membuat pertimbangan meminta diberikan autonomi penuh. Sekiranya Thailand benar-benar menolak tuntutan autonomi ini maka kita akan kembali kepada perjuangan asal iaitu kemerdekaan.
“Dalam perjuangan ini hanya ada dua hasil iaitu hidup sebagai manusia mulia dan syahid. Tidak ada yang ketiga,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan kerajaan Thailand menolak tuntutan autonomi dan kemerdekaan bagi tiga wilayah Selatan Thailand yang bergolak.
Sebaliknya, kerajaan negara itu bersedia menawarkan bentuk pentadbiran lain sebagai usaha mencapai keamanan berkekalan.
Ketua Panel Dialog Damai Kerajaan Diraja Thailand (PEDP/RTG), Thanut Suvarnananda dilaporkan berkata tuntutan berkenaan tidak pernah dibincangkan dalam proses dialog damai yang sedang berlangsung.
Menurutnya, sistem tadbir urus Thailand ketika ini mempunyai tiga peringkat iaitu kerajaan pusat, serantau dan tempatan.
Bekas pemimpin BRN itu turut membidas kenyataan berkenaan dan menyifatkannya berpotensi menjadi punca keganasan serta konflik bersenjata berterusan di Selatan Thailand.
“Thanut tidak sepatutnya terus membuat kenyataan terbuka mengatakan kerajaan menolak tuntutan autonomi. Perkara itu sepatutnya dibincangkan di meja perundingan. Keganasan akan terus berlaku selagi masalah tidak diselesaikan.
“Contohnya, jika kita hendak menyelesaikan masalah demam malaria, bukan hanya memberi ubat. Hari ini beri ubat, esok penyakit akan berulang. Sepatutnya, punca penyakit iaitu nyamuk perlu dihapuskan.
“Beri autonomi selesai masalah. Tiada autonomi kita kembali kepada perjuangan asal (merdeka),” katanya.
Beliau yang masih mempunyai pengaruh dalam kalangan pemimpin tertinggi BRN yang terlibat dalam Proses Dialog Damai Selatan Thai turut mendedahkan pertemuan dengan wakil Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul di Kuala Lumpur pada Jumaat lalu.
Pertemuan itu katanya membincangkan beberapa isu berkaitan keselamatan di Selatan Thailand serta proses rundingan damai.
“Mereka (wakil Anutin) nak jumpa saya… saya kata boleh. Ada beberapa isu dibincangkan yang akan saya kongsi dengan pasukan rundingan BRN.
“Mereka juga gagal berkata apa-apa selepas saya bertanya di mana salahnya jika autonomi diberikan,” katanya.
Sumber: Utusan
