Dua Sukarelawan Thailand Maut, 16 Cedera Dalam Letupan Bom di Narathiwat

Dua anggota sukarelawan pertahanan Thailand maut manakala 16 lagi cedera dalam kejadian letupan bom dan berbalas tembakan di Sukhirin, Narathiwat, pada Jumaat.

Kejadian berlaku kira-kira jam 3.10 petang waktu tempatan ketika sebuah trak membawa 18 anggota sukarelawan pertahanan dalam perjalanan pulang selepas menjalani latihan mendayung perahu di bandar Narathiwat.

Ketua Polis Sukhirin, Kolonel Polis Prapoj Lormkhet, berkata siasatan awal mendapati bom buatan sendiri yang ditanam di tepi jalan telah diaktifkan ketika trak berkenaan melalui lokasi kejadian.

"Insiden berbalas tembakan turut berlaku," katanya kepada pemberita.

Susulan kejadian itu, pasukan keselamatan bergegas ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan serta mengumpul bukti berkaitan insiden.

Semua mangsa yang cedera kemudian dikejarkan ke hospital berdekatan untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Prapoj berkata, pasukan keselamatan turut mempertingkatkan kawalan keselamatan di lokasi kejadian dan kawasan sekitar susulan perkembangan semasa.

Sumber: Bernama

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!