Mayat seorang lelaki warga Thailand berusia 35 tahun ditemukan orang awam selepas dilaporkan lemas di Kampung Pisau Raut, Bendang Pak Yong, Tumpat.
Menurut kenyataan Facebook APM Tumpat, mayat mangsa ditemukan kira-kira jam 6.20 petang Ahad pada jarak lebih kurang 500 meter dari lokasi kejadian.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Tumpat sebelum itu digerakkan bagi menyertai operasi mencari mangsa lemas berkenaan.
Urusan selanjutnya kemudian diserahkan kepada pihak berkuasa berkaitan di Thailand.
Terjun ke Sungai Golok ketika serbuan
Penemuan tersebut dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian seorang lelaki yang dikhuatiri lemas selepas terjun ke Sungai Golok ketika cuba melarikan diri daripada serbuan Pasukan Gerakan Am (PGA), petang Sabtu.
Menurut laporan Sinar Harian, kejadian kira-kira jam 3.25 petang itu berlaku berhampiran Stor Haram Pok Ngoh di Pisau Raut.
Ketika menjalankan rondaan di bawah Op Taring Wawasan Kelantan, anggota Cawangan Risik Batalion 8 PGA mengesan sebuah perahu yang dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan berhampiran tebing sungai.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, kedua-dua lelaki terbabit terjun ke dalam sungai sebaik menyedari kehadiran pasukan keselamatan sebelum cuba berenang menuju ke tebing Thailand.
“Seorang daripada mereka berjaya meloloskan diri ke tebing Thailand, manakala seorang lagi tenggelam dan hilang daripada pandangan serta dipercayai lemas.
“Anggota bertugas cuba mengendalikan perahu berkenaan untuk memberikan bantuan kepada mangsa, namun usaha itu gagal apabila kipas enjin sangkut tersangkut pada kain dan tidak dapat digunakan,” katanya.
Lebih 1.2 tan beras ditemukan
Pemeriksaan terhadap perahu yang ditinggalkan menemukan 1,178 kilogram beras dan 100 kilogram beras pulut yang dipercayai diseludup dari Thailand.
Keseluruhan bekalan beras itu dianggarkan bernilai RM5,412.
PGA turut merampas sebuah perahu bersama sebuah enjin galah yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan.
Kejadian itu turut dimaklumkan kepada IPD Tumpat, Balai Polis Kuala Jambu dan Pasukan Polis Marin Pengkalan Kubor bagi membantu operasi mencari dan menyelamat serta siasatan lanjut.
