Hanya Berbekalkan RM100 Merantau Ke KL, Pemuda Dari Tumpat Kini Ada 120 Pekerja

Bayangkan meninggalkan kampung halaman dengan hanya RM100 di dalam poket, sebuah beg galas dan beberapa helai pakaian.

Lebih sukar, tiada rumah untuk berteduh sebaik tiba di tempat orang.

Itulah permulaan perjalanan Mohd Assraf Maidin Koty, 33, yang nekad meninggalkan Tumpat, Kelantan untuk mencari rezeki di Kuala Lumpur kira-kira 12 tahun lalu.

Ketika itu, dia terpaksa menebalkan muka menumpang tidur di rumah rakan dan kenalan kerana tidak mempunyai tempat tinggal sendiri.

Wang RM100 yang dibawanya pula merupakan pemberian ibu tersayang.

Bukan datang dengan tawaran kerja yang menjanjikan masa depan, Mohd Assraf sebenarnya hanya bekerja sambilan sebagai pembantu di sebuah kedai makan.

Selepas dua bulan merantau, barulah dia mendapat pekerjaan tetap sebagai jurujual di sebuah premis perabot.

Sedikit demi sedikit, kehidupannya mula berubah. Dia akhirnya mampu menyewa bilik sendiri dan tidak lagi perlu menumpang di rumah orang.

Walaupun hidup susah, dia tetap tidak lupa mengirim wang kepada ibu dan ayahnya di kampung.

Namun, perjalanan untuk bergelar usahawan masih jauh.

Peluang besar datang apabila dia ditawarkan membeli sebuah kafe di dalam kampus UKM pada harga RM50,000 dengan bayaran pendahuluan hanya RM5,000.

Masalahnya, simpanan ketika itu cuma RM750.

Dia terpaksa meminjam daripada rakan dan adik-beradik, manakala ibunya, Che Yam Che Ismail, 66, sanggup menggadaikan barang kemas untuk membantu mengumpulkan wang pendahuluan.

Tanpa kakitangan tetap, dia meminta bantuan rakan yang berminat untuk memasak.

Risiko tetap ada, tetapi dia memilih untuk mencuba.

Perniagaan kafe itu bertahan selama dua tahun sebelum dia membuka restoran sendiri.

Namun, ujian paling berat datang ketika negara dilanda pandemik COVID-19 dan PKP dilaksanakan.

Simpanan semakin habis kerana perlu membayar sewa serta gaji pekerja. Ketika itu, dia mengakui hampir hilang semangat.

"Waktu itu, saya kehabisan wang simpanan kerana perlu membayar sewa dan gaji pekerja hingga patah semangat yang teramat.

"Tapi dengan kuasa dan pertolongan Allah SWT, ada saja sumber rezeki dan bangkit semula selepas PKP kerana ketika itu, ramai makan di kedai.

"Syukur sangat kerana tak sangka juga bertahan sehingga sekarang. Saya fikir sudah lama perniagaan akan gulung tikar.

"Mungkin asbab doa emak juga kerana setiap hari minta emak doakan dan bangkit selepas mengenangkan impian sejak di bangku sekolah untuk bergelar usahawan serta ubah nasib keluarga dengannya jadi tak boleh mengalah," katanya.

Hari ini, segala kepayahan itu menjadi kenangan.

Mohd Assraf bukan sahaja bergelar usahawan, malah mempunyai kira-kira 120 pekerja serta menawarkan perkhidmatan katering dan sewaan dewan.

Lebih menyentuh hati, antara perkara yang paling disyukurinya ialah dapat membawa ibu dan arwah bapanya menunaikan umrah.

Dia juga berjaya mengubah suai rumah ibunya yang dahulu hanya berbumbungkan langit menjadi lebih selesa.

Rezeki yang diperoleh turut dikongsi dengan orang lain apabila beliau mengajak kira-kira 100 hingga 150 golongan asnaf, anak yatim dan warga emas menikmati makanan percuma sekali seminggu di premisnya.

Malah, dia kini turut berusaha membantu usahawan F&B yang berstatus muflis untuk bangkit semula.

Daripada RM100 pemberian seorang ibu, kini dia bukan sahaja berjaya mengubah nasib sendiri, malah mampu membuka peluang pekerjaan dan membantu lebih ramai orang.

Sumber: Harian Metro

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!