Kerajaan Thailand menggesa setiap isi rumah di negara itu menyediakan beg kecemasan yang mengandungi bekalan keperluan asas bagi membolehkan mereka bertahan selama 72 jam sekiranya berlaku bencana atau krisis.
Ketua Pengarah Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana (DDPM), Nirat Pongsitthaworn berkata, persediaan tersebut penting bagi memastikan orang ramai mempunyai bekalan mencukupi sementara menunggu bantuan pihak berkuasa tiba.
BERKAITAN: 33 Negara Saran Rakyat Simpan Bekalan Kecemasan, Cadang Stok Hingga 10 Hari
Menurutnya, terdapat enam kategori barangan utama yang perlu dimasukkan ke dalam beg berkenaan.
Enam Kategori Barang Perlu Disediakan
Antara barangan yang disarankan ialah ubat-ubatan, makanan dan air minuman, peralatan komunikasi, dokumen penting serta wang tunai.
Selain itu, orang ramai turut diminta menyediakan kelengkapan kebersihan dan pakaian sebagai persediaan menghadapi situasi kecemasan.
Bagi bekalan air pula, setiap individu disarankan menyediakan sekurang-kurangnya tiga liter air sehari.
Simpan Di Tempat Mudah Dicapai
Beg kecemasan tersebut juga disarankan menggunakan bahan kalis air bagi melindungi barangan di dalamnya daripada basah atau rosak.
Ia perlu diletakkan di lokasi yang mudah dicapai supaya boleh dibawa keluar dengan segera apabila berlaku kecemasan.
Orang ramai turut diingatkan supaya memeriksa kandungan beg berkenaan secara berkala bagi memastikan semua bekalan masih berada dalam keadaan baik dan boleh digunakan.
Persediaan awal ini penting bagi membantu setiap keluarga menghadapi tempoh awal bencana sebelum bantuan daripada pihak berkuasa tiba.
