Usahawan dan pempengaruh terkenal, Khairul Aming sekali lagi mencipta rekod baharu apabila berjaya meraih jualan sebanyak AS$1 juta (RM4.07 juta) menerusi siaran langsung di platform e-dagang Shopee.
Pencapaian itu dikongsikan sendiri oleh Khairul Aming atau KA menerusi satu hantaran di media sosial.
Menerusi perkongsian tersebut, beliau meluahkan rasa syukur selepas berjaya mencapai angka jualan berkenaan buat kali pertama di platform itu.
“Alhamdulillah, kita berjaya pecah rekod baru. Jualan 1 juta USD (RM4.07 juta) pertama KA di Shopee.
“Terima kasih semua. KA terhutang budi dengan korang semua,” katanya.
Lebih menarik, siaran langsung yang berlangsung dari Sabah hari ini menyaksikan sebanyak 300,000 botol sambal berjaya dijual.
Selain sambal, beberapa produk lain turut mendapat sambutan menerusi sesi jualan secara langsung berkenaan.
Kejayaan itu sekali lagi memperlihatkan sambutan pengguna terhadap produk keluaran usahawan berkenaan, yang turut aktif menggunakan platform digital untuk memasarkan perniagaannya.
