Ibu Maut Dihanyutkan Kepala Air Ketika Cuba Selamatkan Dua Anak

Hasrat seorang ibu untuk menyelamatkan dua anak perempuannya yang terjatuh ke dalam sungai berakhir dengan tragedi apabila dia sendiri dihanyutkan arus deras dalam kejadian kepala air di Sungai Jalong Tinggi, Kampung Landap, Sungai Siput, Perak.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang Rabu itu, S Nirmala Dewi, 36, sedang mandi-manda bersama suami, dua anak perempuan berusia tujuh dan sembilan tahun serta tujuh lagi ahli keluarga.

Suasana yang pada awalnya mungkin menjadi waktu beriadah bersama keluarga bertukar cemas apabila kedua-dua anaknya terjatuh ke dalam sungai sebelum dihanyutkan arus deras.

Melihat anak-anak berada dalam bahaya, mangsa bersama suaminya segera cuba memberikan bantuan.

Namun, arus yang kuat menyebabkan kedua-dua ibu bapa itu turut dihanyutkan.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintenden Charan Ai Wan berkata, dua kanak-kanak terbabit bersama bapa mereka berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung Orang Asli.

"Kedua-dua kanak-kanak dan bapa mereka berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung Orang Asli, namun ibu mereka gagal diselamatkan," katanya.

Usaha mencari mangsa kemudian dilakukan dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Kira-kira jam 6.50 petang, mangsa ditemukan penduduk kampung di tebing sungai dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Bagaimanapun, petugas kesihatan yang tiba di lokasi mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

Sementara itu, operasi bomba melibatkan 10 anggota dari BBP Sungai Siput dengan bantuan sebuah jentera FRT, Hilux, bot dan kenderaan utiliti Kembara.

Tragedi ini sekali lagi menjadi peringatan kepada orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika melakukan aktiviti di sungai dan kawasan air terjun, terutama ketika musim tengkujuh apabila keadaan cuaca sukar dijangka.

Sumber: Sinar Harian

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!