Lelaki Larikan Diri Selepas Motosikal Terbabas, Tinggalkan Ganja 11kg Di Rantau Panjang

Tindakan seorang lelaki memecut motosikal bagi mengelak pemeriksaan polis membawa kepada penemuan 11 kilogram (kg) ganja bernilai RM34,100 di Jalan Kasban, Jeram Perdah, Rantau Panjang pada Rabu.

Lelaki terbabit melarikan diri ke kawasan semak samun selepas motosikal ditunggangnya terbabas di jalan berlumpur ketika dikejar anggota Pasukan Gerakan Am (PGA).

Bagaimanapun, dia meninggalkan sebuah motosikal Honda Wave bersama dua beg yang mengandungi 100 ketulan mampat disyaki ganja.

Komander Briged Tenggara, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8.30 malam ketika sepasukan anggota Strike Force Kompeni A Batalion 7 PGA menjalankan rondaan bermotosikal.

Menurutnya, anggota mengesan sebuah motosikal Honda Wave ditunggang seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan sebelum memasuki Lorong Sapi di kawasan berkenaan.

Anggota kemudian mengekori motosikal itu sambil memperkenalkan diri sebagai pegawai kanan polis dan mengarahkan penunggangnya berhenti untuk pemeriksaan.

"Anggota kemudian mengekori motosikal itu sambil memperkenalkan diri sebagai pegawai kanan polis dan mengarahkan penunggangnya berhenti untuk pemeriksaan.

"Bagaimanapun lelaki terbabit memecut laju bagi meloloskan diri sebelum motosikal ditunggangnya terbabas di jalan berlumpur.

"Dia kemudian melarikan diri ke kawasan semak samun berhampiran dan gagal dikesan walaupun anggota melakukan pemeriksaan serta pencarian di sekitar lokasi," katanya kepada pemberita pada Khamis.

Dua Beg Mengandungi 100 Ketulan Ganja

Ahmad Radzi berkata, pemeriksaan di lokasi motosikal terbabit menemui dua beg yang ditinggalkan berhampiran kenderaan itu.

Beg galas berwarna merah jambu dan kelabu mengandungi 40 ketulan mampat berwarna kehijauan disyaki ganja dengan berat 4.4kg.

Sebuah lagi beg pakaian berwarna hijau dan putih pula mengandungi 60 ketulan mampat seberat 6.6kg.

"Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan seberat 11kg dengan nilai RM34,100, selain sebuah motosikal Honda Wave bernilai RM1,000 dan satu unit anak kunci kenderaan.

"Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM35,100," katanya.

Motosikal Dipercayai Dari Thailand

Menurut Ahmad Radzi, semakan nombor enjin dan casis motosikal berkenaan tidak menemukan sebarang rekod, sekali gus dipercayai kenderaan itu berasal dari Thailand.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Semua barang rampasan kemudian diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut.

Sumber: Sinar Harian

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!