KOTA BHARU – Pasukan Gerakan Am (PGA) akan menyalurkan elemen sokongan dalam operasi perobohan 153 jeti haram di sepanjang Sungai Golok yang dijangka bermula dalam masa terdekat, lapor Harian Metro.
Pemangku Komander Briged Tenggara PGA, Asisten Komisioner Ijid Landu Binju, berkata walaupun pihaknya tidak terlibat secara langsung dalam kerja-kerja perobohan, PGA bersedia membantu dari segi sumber manusia dan logistik jika diperlukan.
“Kerja perobohan pangkalan haram berada di bawah bidang kuasa Pejabat Tanah dan Jajahan bagi daerah Tumpat, Pasir Mas dan Jeli, manakala pelaksanaannya dilaksanakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) masing-masing.
Namun, sebagai elemen sokongan, PGA akan membantu sekiranya ada keperluan dan juga bersedia menghadapi sebarang kemungkinan semasa operasi dijalankan,” katanya kepada media.
Menurut beliau, semua jeti haram berkenaan terletak di bawah kawasan tanggungjawab PGA, maka pihaknya turut mengambil maklum terhadap perkembangan operasi itu bagi memastikan keselamatan dan kelancaran proses.
Sebelum ini, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, dilaporkan berkata bahawa sebanyak 153 jeti atau pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok di empat daerah akan mula dirobohkan secara berperingkat mulai minggu ini.
Dalam pada itu, Ijid turut memaklumkan bahawa pihaknya mengenal pasti lima pangkalan haram di Rantau Panjang sebagai lokasi panas yang sering digunakan untuk aktiviti jenayah rentas sempadan.
Katanya, sebanyak 72 kes dilaporkan setakat ini di kawasan tersebut, melibatkan lokasi Pangkalan Haram Pohon Jambu, Awang Belulang, Gergaji, Kerdap dan Lan Bundle.
“Selain itu, sebanyak 12 kes penyelewengan petrol turut dikesan sejak pelancaran BUDI MADANI RON95 (BUDI95) penghujung September lalu, dengan dua tangkapan telah dibuat,” katanya.
#KelantanDaily
Sumber: Harian Metro
