Siapa Aliff Sor Dechapan? Kenali Juara Dunia Muay Thai Dari Kelantan

Nama Aliff Rakib kini terpahat dalam sejarah sukan tempur negara selepas muncul rakyat Malaysia pertama merangkul tali pinggang kejuaraan dunia ONE Championship.

Aliff atau nama gelanggangnya, Aliff Sor Dechapan, menumbangkan legenda Muay Thai Thailand, Sam-A Gaiyanghadao, menerusi knockout pada pusingan kelima di Stadium Lumpinee, Bangkok pada 24 Julai.

Aliff Rakib vs Sam-A Gaiyanghadao

Aliff Sor Dechapan, menewaskan petinju Thailand, Sam-A Gaiyanghadao | Foto: One Championship


Kemenangan itu membolehkan anak muda berusia 22 tahun berkenaan merangkul Kejuaraan Dunia Interim Muay Thai Strawweight ONE dan membawa pulang bonus prestasi AS$50,000.

Namun perjalanan Aliff menuju ke puncak dunia sebenarnya bermula jauh lebih awal, dari sebuah keluarga yang begitu dekat dengan sukan tempur.

Biodata Ringkas Aliff Rakib

Nama penuh: Ahmad Nor Iman Aliff bin Rakib
Nama gelanggang: Aliff Sor Dechapan
Tarikh lahir: 4 Februari 2004
Umur: 22 tahun
Tempat lahir: Rantau Panjang, Pasir Mas, Kelantan
Kewarganegaraan: Malaysia
Keturunan: Melayu-Thailand
Tinggi: Kira-kira 1.77 meter
Kategori: Strawweight Muay Thai
Pasukan: Sor Dechapan Gym, Bangkok
Gaya pertarungan: Muay Thai
Pencapaian terkini: Juara Dunia Interim Muay Thai Strawweight ONE

Menurut profil rasmi ONE Championship, Aliff dilahirkan di Malaysia dan mula mempelajari Muay Thai di bawah bimbingan bapanya ketika berusia tujuh tahun.

Dalam perkongsian peribadi Aliff sebelum ini, beliau pula menceritakan bahawa minatnya terhadap pertarungan bermula ketika masih berusia sekitar lima tahun selepas mengikuti abangnya menyertai satu pertandingan di Kuala Lumpur.

Ketika itu, Aliff yang belum menjalani latihan secara formal dikatakan menangis kerana mahu turut bertanding. Dia akhirnya diberikan seorang lawan dan pertarungan pertamanya berakhir seri.

Lahir Dalam Keluarga Sukan Tempur

Aliff merupakan anak kepada Rakib Ahmad, bekas peninju negara yang pernah membawa cabaran Malaysia di pentas antarabangsa.

Rakib pernah menyertai acara tinju kategori flyweight pada Sukan Komanwel 1998 di Kuala Lumpur dan mara sehingga peringkat suku akhir.

Rakib Atib Sukan Komanwel 1998

Rakib Ahmad ketika mewakili Malaysia di Sukan Komanwel 1998 | Foto: Aliff Rakib


Beliau turut mewakili negara pada Sukan SEA 2001 sebelum meraih pingat perak selepas mara ke perlawanan akhir kategori flyweight.

Pengalaman bapanya sebagai atlet negara menjadi asas penting kepada perjalanan Aliff. Rakib bukan sahaja melatih anaknya, malah membawa Aliff menyertai kejohanan di Thailand serta menanggung perbelanjaan latihan dan pertandingannya.

Aliff bukan satu-satunya anggota keluarga itu yang aktif dalam sukan tempur.

Adiknya, Adam Rakib atau Adam Sor Dechapan, turut bertanding dalam Muay Thai dan sudah beraksi di ONE Championship. Seorang lagi abangnya, Hakim Rakib, pula aktif dalam sukan kickboxing dan taekwondo.

Aliff bersama adiknya Adam Rakib

Aliff bersama adiknya, Adam Rakib | Foto: Aliff Rakib

Keluarga Rakib kini dikenali sebagai antara keluarga sukan tempur paling menonjol di Malaysia, selain keluarga Ghazali yang dianggotai Johan Ghazali atau Jojo bersama adik-beradiknya.

Dihantar Ke Bangkok Ketika Berusia 14 Tahun

Ketika berusia 14 tahun, Aliff mengambil keputusan besar dengan meninggalkan kehidupan di Malaysia untuk menjalani latihan sepenuh masa di Bangkok.

Perpindahan itu bukan mudah.

Aliff berdepan masalah bahasa, budaya dan suasana latihan yang jauh lebih keras. Dalam satu laporan selepas memenangi kejuaraan dunia, Aliff mendedahkan bahawa dia pernah dibuli petarung muda Thailand sehingga membuatkannya berputus asa dan pulang ke Malaysia.

Namun kata-kata tegas bapanya mengubah perjalanan hidup Aliff.

“Ayah saya cakap, ‘Kalau kau tak kembali ke Thailand. apa yang kau nak buat dengan hidup kau?'”

Aliff menyedari Muay Thai merupakan satu-satunya jalan yang dipilihnya selepas meninggalkan persekolahan. Dia kemudian kembali ke Thailand, memperkuatkan mental dan berlatih lebih keras.

Sepanjang membina karier di Thailand, Aliff pernah berkongsi bahawa dia sudah melalui kira-kira 120 pertarungan, dengan 105 kemenangan, lima seri dan 10 kekalahan menerusi keputusan mata.

Rekod itu merangkumi pertarungan sejak usia muda dan bukan hanya rekodnya dalam ONE Championship.

Menang Emas Di Pentas Antarabangsa

Sebelum mencipta nama dalam ONE Championship, Aliff terlebih dahulu membuktikan kemampuannya dalam beberapa pertandingan amatur antarabangsa.

Antara kejayaan yang pernah diraihnya ialah pingat emas Kejohanan Dunia IFMA di Bangkok pada 2021, Sukan SEA Vietnam 2022 serta kejohanan IFMA di Emiriah Arab Bersatu pada tahun sama.

aliff rakib sukan sea vietnam 2022

Aliff Rakib memenangi emas di Sukan Sea Vietnam pada 2022. | Foto Bernama


Profil ONE Championship turut menyenaraikan kejayaan Aliff meraih emas di Bangkok pada 2021, Abu Dhabi pada 2022 serta Sukan SEA 2022 di Vietnam.

Beliau juga pernah menerima pengiktirafan sebagai Olahragawan Harapan Terengganu pada 2023.

Kontrak Enam Angka Bersama ONE Championship

Aliff mula beraksi dalam siri ONE Friday Fights pada 2023 dan segera mencuri perhatian menerusi gaya pertarungan agresif serta kemampuan menamatkan lawan.

Selepas mencatat empat kemenangan termasuk tiga menerusi knockout, beliau ditawarkan kontrak bernilai enam angka untuk menyertai senarai utama ONE Championship.

Daripada seorang petarung muda yang terpaksa menyesuaikan diri di Bangkok, Aliff mula menewaskan beberapa nama besar dan membina reputasi sebagai antara pencabar paling berbahaya dalam divisyen strawweight.

Tumbangkan Legenda Thailand Untuk Gelaran Dunia

Kemuncak perjalanan itu tiba pada 24 Julai apabila Aliff berdepan Sam-A Gaiyanghadao bagi merebut tali pinggang dunia interim.

Sam-A bukan lawan biasa. Petarung berusia 42 tahun itu pernah menjadi juara dunia ONE dalam dua divisyen dan dua disiplin serta memiliki pelbagai gelaran dalam Muay Thai dan kickboxing.

Aliff bagaimanapun membuktikan bahawa pentas tersebut sudah menjadi miliknya.

Aliff dengan tali pinggang One Championship

Aliff bergambar sambil tidur dengan tali pinggang kemenangannya | Foto: Aliff Rakib


Dia menamatkan pertarungan pada pusingan kelima untuk muncul rakyat Malaysia pertama menjulang tali pinggang emas seberat 26 paun dalam ONE Championship.

Kemenangan tersebut turut menghadiahkannya bonus prestasi AS$50,000.

Tali Pinggang Didedikasikan Kepada Bapa

Selepas kemenangan bersejarah itu, Aliff mendedikasikan tali pinggang berkenaan kepada bapanya yang menjadi individu paling penting dalam kariernya.

“Saya berusaha sangan kuat dan tempuh setiap rintangan untuk capai tahap ini.

“Kemenangan dan talin pinggang ini didedikasikan untuk ayah saya.”

Bagi Aliff, kemenangan itu bukan hanya hasil latihan di dalam gelanggang. Ia menjadi balasan terhadap pengorbanan ibu bapanya yang terus membiayai tempat tinggal dan latihan di Thailand meskipun keluarga mereka bukan daripada golongan berada.

Aliff Rakib bersama ibu dan bapa

Aliff Rakib bersama bapa, Rakib Ahmad dan ibunya, Che Sue. | Foto: Aliff Rakib


Beliau kini dijangka berdepan juara dunia sebenar divisyen tersebut, Prajanchai PK Saenchai, dalam pertarungan penyatuan gelaran selepas petarung Thailand itu pulih daripada kecederaan.

Daripada seorang kanak-kanak yang menangis mahu diberikan peluang bertarung, Aliff kini berdiri sebagai juara dunia.

Dan di sebalik kejayaan itu, ada seorang bapa yang sejak awal percaya bahawa anaknya mampu pergi jauh.

Sumber: One Championship, NST, Zack Rahim, Kelantan Muay Thai, Bernama

TERKINI

Thailand Bina Pagar Kawat Berduri 99KM Di Sempadan Kelantan-Narathiwat
|
Wilayah Tentera Ke-4 Thailand bakal membina pagar kawat berduri…
Kanak-Kanak Autistik Tujuh Tahun Maut Terjatuh dari Tingkat 13 Pangsapuri
|
Seorang ibu dari Pasir Puteh, Kelantan tidak menyangka perasaan…
Siapa Aliff Sor Dechapan? Kenali Juara Dunia Muay Thai Dari Kelantan
|
Nama Aliff Rakib kini terpahat dalam sejarah sukan tempur…
Thailand Laksana Undang-Undang Tentera Di Narathiwat Selepas Serangan Maut
|
Kerajaan Thailand mengisytiharkan pelaksanaan undang-undang tentera di 13 daerah…
Dua Pelajar Perempuan Ditemui Maut Jatuh Dari Flat Terbiar Di Ipoh
|
Dua pelajar perempuan berusia 14 tahun ditemui maut selepas…
Sejarah Tercipta! Aliff Rakib Raih Gelaran Dunia Pertama Malaysia Di ONE Championship
|
Jaguh Muay Thai negara, Aliff Rakib, mencipta sejarah apabila…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!