Impian seorang anak yatim dari Kampung Kubang Keranji, Pasir Tumboh untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di Universiti Al-Azhar, Mesir akhirnya mendapat sinar baharu apabila Majlis Amanah Rakyat (MARA) tampil menawarkan bantuan selepas kisahnya mendapat perhatian.
Mohamad Solihin Mohd Nasir, 19, yang juga bekas pelajar MRSM Jeli, sebelum ini hampir menolak tawaran mengikuti Ijazah Sarjana Muda Perubatan di universiti berkenaan kerana keluarganya tidak mampu menanggung kos pengajian dan sara hidup.
Impian Jadi Doktor Demi Arwah Bapa
Mohamad Solihin berkata, tawaran yang diterimanya pada 15 Jun lalu dianggap peluang kedua selepas permohonannya untuk mengikuti jurusan pergigian di universiti sama tahun lalu tidak berjaya.
Anak bongsu daripada lima beradik itu menyimpan impian menjadi doktor, khususnya pakar bedah kardiotorasik, selepas bapanya, Mohd Nasir Abdul Rahman, meninggal dunia akibat serangan jantung pada 2014 ketika beliau masih berada di Tahun Satu.
Selain minat terhadap bidang perubatan, beliau juga mahu mendalami ilmu agama, sejarah dan falsafah di Universiti Al-Azhar.
Sebelum ini, Mohamad Solihin memaklumkan beliau memerlukan lebih RM15,000 sebagai kos awal meliputi yuran, visa dan dokumentasi untuk ke Mesir, manakala keseluruhan kos pengajian dan sara hidup sepanjang lima tahun dianggarkan hampir RM100,000.
MARA Tawar Dua Pilihan
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata pihaknya akan mencari penyelesaian terbaik supaya Mohamad Solihin dapat meneruskan cita-citanya.
Beliau berkata, jika pelajar itu memilih Universiti Al-Azhar, MARA akan membantu menyediakan laluan termasuk mengikuti kursus Bahasa Arab terlebih dahulu bagi memenuhi syarat kemasukan.
Sebagai pilihan kedua, MARA turut menawarkan peluang mengikuti pengajian perubatan di Universiti Sains Malaysia Kampus Kesihatan (USMKK) dengan tajaan MARA.
"Kita memang memberi fokus kepada pelajar seperti Mohamad Solihin. Tambahan pula latar belakang keluarganya susah dan dia anak yatim. Memang golongan seperti ini yang kita utamakan," katanya ketika menghubungi Mohamad Solihin menerusi panggilan video.
Tetap Mahu Ke Al-Azhar
Mohamad Solihin yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.96 di Kolej Matrikulasi Kelantan berkata beliau tetap berhasrat meneruskan pengajian di Universiti Al-Azhar walaupun perlu mengikuti kursus Bahasa Arab terlebih dahulu.
Ibunya, Faridah Mohamad, 60, yang menghidap penyakit tiroid turut meluahkan rasa syukur dan berharap impian anak bongsunya itu menjadi kenyataan walaupun keluarga berdepan kekangan kewangan.
Mohamad Solihin dijadualkan berlepas ke Mesir antara 21 hingga 29 Ogos ini sekiranya memperoleh dana yang mencukupi.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan bagi membantu Mohamad Solihin melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar boleh menyalurkannya ke akaun Bank Islam Malaysia Berhad atas nama Mohamad Solihin Mohd Nasir di nombor 03120027878649.
Sumber: Harian Metro, Bernama
