Seorang pelajar dari Kelantan mencipta kejayaan membanggakan apabila meraih empat pingat emas dalam Kejohanan Jemputan Taekwon-Do Antarabangsa ITF 2026 di Loudi, China.
Muhammad Esyhan Izz Rifqi bin Badaliza yang merupakan pelajar Maahad Pengajian Islam (MPI) meraih pingat emas menerusi acara Team Pattern, Individual Pattern, Individual Sparring dan Team Sparring.
Menurut hantaran Facebook Maahad Pengajian Islam, Esyhan pada awalnya memperoleh tiga pingat emas sebelum menambah emas keempat menerusi kategori Team Sparring pada hari kedua kejohanan.
Dia menyertai kejohanan berkenaan bersama Kelab High Kicks Taekwondo bagi mewakili pasukan Malaysia.
“Tambahan pingat emas pada hari ini dirangkul menerusi kategori Team Sparring, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 4 pingat emas,” menurut hantaran tersebut.
Pihak sekolah turut merakamkan penghargaan kepada pasukan Malaysia, jurulatih dan keluarga yang membantu Esyhan mencapai kejayaan berkenaan.
“Kejayaan hari ini adalah bukti bahawa usaha yang konsisten, disiplin yang tinggi, dan tawakal kepada Allah SWT tidak akan pernah mengkhianati hasil.
“Semoga kejayaan anakanda Esyhan ini menjadi pencetus semangat dan inspirasi buat seluruh warga pelajar MPI untuk terus cemerlang, bukan sahaja dalam bidang kokurikulum dan sukan, malah dalam bidang akademik dan sahsiah diri. Teruskan melakar kejayaan demi agama, bangsa, dan negara!” menurut hantaran itu.
Terima Ucapan Tahniah Menteri Besar
Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Haji Mohd Nassuruddin Haji Daud turut mengucapkan tahniah atas kejayaan pelajar berkenaan.
Dalam hantaran terdahulu di Facebook, beliau memuji kejayaan Esyhan selepas meraih tiga pingat emas menerusi Team Pattern, Individual Pattern dan Individual Sparring.
“Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada lebih ramai anak Kelantan untuk berani membawa nama negeri ke peringkat yang lebih tinggi.
“Tahniah Eyshan! Demi Kelate Kito Lawe!” katanya.
Esyhan kemudiannya melengkapkan pencapaiannya dengan memenangi satu lagi pingat emas menerusi Team Sparring, sekali gus membawa pulang empat emas keseluruhan.
