Pengasas Elrah Exclusive, El Azman menjelaskan bahawa keputusannya untuk menaja Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) bukan dibuat semata-mata atas pertimbangan perniagaan atau keuntungan.
Sebaliknya, keputusan itu lahir daripada keinginannya untuk memberikan sokongan kepada negeri kelahirannya melalui kemampuan yang dimiliki.
El Azman berkata, beliau kadangkala kurang memahami apabila ada pihak mempersoalkan mengapa dirinya tidak memilih untuk menaja pasukan bola sepak dari negeri lain.
“Maaf cakap kadang-kadang saya tak faham bila orang tanya, ‘Kenapa tak sponsor bola sepak negeri ni? Kenapa tak sponsor negeri tu?’
“Memanglah saya pilih untuk sponsor bola sepak Kelantan. Saya anak jati Kelantan kot.
“Menang atau kalah bukan persoalannya. Ini bukan semata-mata soal bisnes atau nak cari keuntungan. Ini tentang apa yang saya mampu buat untuk support negeri sendiri, tempat saya lahir dan membesar,” katanya menerusi satu tulisan di media sosialnya.
Elrah Exclusive merupakan antara penaja Kelantan Red Warrior FC yang membawa cabaran bola sepak Kelantan bersaing di Liga Super musim 2026-2027.
Bagi El Azman, sokongan tersebut bukan sekadar berdasarkan prestasi atau keputusan perlawanan, sebaliknya menjadi sebahagian daripada sumbangannya kepada negeri sendiri.
