Siapa sangka, seorang guru Pendidikan Islam yang baru meneroka dunia fotografi dan videografi mampu membawa pulang pengiktirafan antarabangsa menerusi karya filem pendeknya.
Itulah kejayaan yang diraih Guru Cemerlang Pendidikan Islam dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kandis, Kelantan, Ustazah Yusliza Kamarudin apabila menerima pengiktirafan Honourable Mention (Short Film) dalam pertandingan Sultan Mizan International Photography Awards 2025 (SMIPA).
Pengiktirafan itu diberikan menerusi karya berjudul Warisan Yang Perlahan Hilang dan lebih istimewa, ia merupakan penyertaan pertama beliau dalam pertandingan berkenaan.
Meskipun bukan pembikin filem profesional, minat untuk belajar dan keberanian mencuba sesuatu yang baharu akhirnya membuka peluang buat Ustazah Yusliza untuk menyerlah di peringkat antarabangsa.
Hantar penyertaan selepas tarikh tutup
Berkongsi pengalaman menerusi Facebook, Ustazah Yusliza berkata, penyertaannya bermula selepas mendapat galakan daripada seorang guru pembimbing dikenali sebagai Benaz.
Beliau disarankan menghantar video pendek hasil karya mereka ke pertandingan tersebut.
Menariknya, ketika penyertaan dihantar, tarikh tutup pertandingan sebenarnya sudah berlalu. Namun, penyertaan itu masih diterima dan akhirnya membuahkan pengiktirafan yang tidak disangka.
"Walaupun bukan pemilik hadiah utama, pencapaian ini tetap menjadi satu kebanggaan yang sangat besar buat saya.
"Bukan sekadar tentang kemenangan, tetapi tentang keberanian mencuba, kepercayaan terhadap kemampuan diri dan semangat menghasilkan karya bersama insan-insan hebat," kongsinya.
Bermula dari belakang tabir
Minat Ustazah Yusliza dalam bidang produksi dan filem turut berkembang melalui penglibatannya di belakang tabir, termasuk sebagai penyunting visual dan juru kamera kedua.
Beliau mengakui masih baharu dalam bidang fotografi jika dibandingkan dengan peserta lain yang mempunyai pengalaman lebih luas.
Malah, pengiktirafan yang diterima itu membuatkannya terkejut dan terharu kerana beliau menganggap dirinya masih seorang guru yang sedang belajar menguasai kemahiran berkenaan.
"Saya mungkin bukan pembikin filem profesional. Saya hanyalah seorang pendidik yang sentiasa ingin belajar, meneroka teknologi, berkarya dan mencabar potensi diri," katanya.
Minat terhadap pendidikan digital, fotografi, videografi dan teknologi kecerdasan buatan (AI) menjadi antara pendorong untuk beliau terus meneroka bidang kreatif.
Mahu kembangkan bakat murid dalam fotografi dan videografi
Lebih menarik, pengalaman yang diperoleh bukan sekadar mahu digunakan untuk menghasilkan karya sendiri.
Ustazah Yusliza turut berharap dapat berkongsi kemahiran fotografi dan videografi dengan anak didiknya.
Beliau memaklumkan pernah memberi pendedahan berkaitan fotografi kepada murid-muridnya, selain dijemput menyampaikan ceramah mengenai penggambaran video.
"Saya akan terus upgrade diri saya. Saya pun masih belajar dan perlu upgrade dari masa ke semasa.
"Dan untuk anak-anak murid saya, saya dah sebelum ni saya dah ada pendedahan kepada dia orang tentang fotografi dan saya juga telah dijemput untuk memberi ceramah berkenaan dengan shooting video ni.
"Jadi untuk masa hadapan saya harap saya dapat menghasilkan lebih banyak karya yang lebih baik," katanya.
JPN Kelantan turut bangga
Sementara itu, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan turut menzahirkan rasa bangga dengan pencapaian Ustazah Yusliza.
Menurut perkongsian jabatan itu di Facebook, kejayaan berkenaan membuktikan kreativiti, inovasi dan penguasaan teknologi digital dalam kalangan pendidik mampu menyerlah hingga ke peringkat antarabangsa.
JPN Kelantan turut berharap pencapaian tersebut menjadi inspirasi kepada warga pendidik negeri ini untuk terus berkarya, berinovasi dan mengharumkan nama pendidikan Kelantan.
Untuk rekod, majlis penganugerahan SMIPA 2025 berlangsung pada 19 Oktober 2026 di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu.
Majlis itu disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail, Pemangku Raja Terengganu.
Pertandingan berkenaan menghimpunkan lebih 200 peserta dengan sebanyak 385 karya dipertandingkan, termasuk penyertaan dari luar negara.
Kejayaan Ustazah Yusliza membawa satu mesej bermakna: seseorang tidak perlu menunggu sehingga menjadi pakar untuk mula berkarya. Kadangkala, langkah pertama yang berani itulah yang membuka jalan kepada pencapaian lebih besar.
Sumber: Sinar Bestari, Buletin TV3
