Hasrat sepasang suami isteri untuk menyaksikan anak mereka diraikan dalam Istiadat Konvokesyen Universiti Malaysia Kelantan (UMK) tidak kesampaian apabila kedua-duanya maut dalam kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik, pada Isnin.
Pasangan berkenaan, Abd. Halim Bakar, 64, dan isterinya, Siti Sara Abd. Rahman, 58, terkorban selepas Perodua Alza dinaiki mereka bertembung dengan sebuah bas persiaran di Kilometer 72, laluan Gerik-Jeli.
Anak lelaki mereka, Mohamad Syazwan Hakimi, turut mengalami kecederaan parah dalam kejadian itu.
Lebih menyedihkan, pasangan tersebut dalam perjalanan untuk menghadiri majlis konvokesyen anak perempuan mereka, Husna Syakira Abd Halim, yang dijadualkan berlangsung di UMK keesokan harinya.
UMK gerakkan pasukan bantu keluarga
UMK menerusi kenyataan di Facebook rasmi merakamkan ucapan takziah dan dukacita atas kehilangan ibu bapa kepada Husna Syakira, bakal graduan Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP) dalam program Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan (Logistik dan Perdagangan Pengedaran) dengan Kepujian.
Menurut universiti itu, pengurusan melalui Bahagian Kesejahteraan Mahasiswa, Pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) sudah menggerakkan pasukan pegawai, wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) serta pegawai psikologi ke Hospital Gerik.
Langkah itu bagi memberikan sokongan kebajikan, membantu urusan dokumentasi dan menyelaraskan keperluan keluarga pelajar berkenaan.
"Sebagai sebahagian daripada usaha membantu keluarga, pihak universiti turut menyediakan van jenazah bagi pengurusan penghantaran pulang jenazah," kata kenyataan itu.
UMK turut memaklumkan pihaknya akan memberikan kerjasama dan sokongan sewajarnya kepada keluarga mangsa, termasuk dalam urusan kebajikan serta keperluan berkaitan.
Universiti itu juga menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada polis dan pihak hospital bagi mengenal pasti punca kejadian.
Menteri Pendidikan Tinggi turut zahirkan takziah
Sementara itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir turut menzahirkan ucapan takziah kepada Husna Syakira dan seluruh keluarga atas pemergian kedua-dua ibu bapanya.
Menerusi perkongsian di Threads, beliau menyifatkan kehilangan pasangan itu ketika dalam perjalanan menghadiri majlis konvokesyen anak mereka sebagai satu kehilangan yang amat menyedihkan.
“Salam takziah buat Saudari Husna Syakira binti Abd Halim, bakal graduan Universiti Malaysia Kelantan serta keluarga atas pemergian kedua ibu bapa yang terkorban dalam kemalangan untuk menghadiri majlis konvokesyen di UMK,” katanya.
Beliau turut berharap seluruh ahli keluarga diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi ujian berkenaan.
“Semoga mereka diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian berat itu,” ujarnya.
Perodua Alza dipercayai hilang kawalan
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman berkata, siasatan awal mendapati Perodua Alza yang dalam perjalanan dari arah Kedah menuju Kelantan dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan.
Menurutnya, bas persiaran yang datang dari arah bertentangan cuba mengelak ke kanan, namun perlanggaran tetap berlaku.
“Bas persiaran yang datang dari arah bertentangan cuba mengelak ke kanan, namun perlanggaran tetap berlaku di tengah laluan apabila bahagian hadapan bas bertembung dengan bahagian hadapan sebelah kanan Perodua Alza.
“Ketika kejadian, bas persiaran yang dipandu lelaki berusia 52 tahun itu dalam perjalanan dari arah Gua Musang menuju ke Tanjung Malim,” katanya.
Kemalangan itu menyebabkan pemandu Alza dan isterinya meninggal dunia di lokasi kejadian.
Seorang lagi penumpang lelaki mengalami kecederaan pada bahagian muka dan kaki kanan, manakala pemandu serta kesemua penumpang bas persiaran tidak mengalami kecederaan.
Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Gerik untuk tindakan lanjut, manakala mangsa yang cedera turut dihantar ke hospital sama bagi mendapatkan rawatan.
Polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Abdul Samad berkata, pihaknya sedang mengesan saksi bebas serta mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan kamera papan pemuka (dashcam) bagi membantu siasatan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil membantu siasatan.
