11 Tahun PJJ, Hasrat Isteri Dan 3 Anak Beraya Sedondon Kali Pertama Tidak Kesampaian

Hasrat seorang anggota tentera untuk memakai pakaian raya sedondon bersama keluarga pada sambutan Aidilfitri tahun ini tidak kesampaian selepas beliau maut dalam kemalangan di Kilometer 70 Bandar Permaisuri, Setiu hari ini.

Mangsa, Mohamad Shakiran Saidi, 36, terkorban dalam nahas itu bersama rakannya Muhammad Aminuddin Amran, 21.


Teruja Pakai Baju Raya Sedondon

Isterinya, Nor Fatin Mohd Azhar, 36, berkata arwah suaminya sangat teruja untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga dengan memakai pakaian sedondon berwarna merah.

Menurutnya, mereka lima beranak tidak pernah berpeluang berbuat demikian sebelum ini kerana menjalani perkahwinan jarak jauh (PJJ) selama 11 tahun.

“Namun tahun ini suami tiba-tiba minta saya sediakan baju raya untuk diri sendiri serta tiga orang anak kami manakala baju Melayu miliknya dibeli sendiri.

“Bagaimanapun hasrat itu tidak kesampaian dan baju Melayu dibeli itu turut ditemui dalam kereta yang dinaikinya,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Setiu.


Tidak Sabar Jumpa Anak Bongsu

Menurut Nor Fatin Mohd Azhar, arwah juga tidak sabar untuk berjumpa anak bongsu mereka, Muhamad Harasy Mikhail yang kini berusia lapan bulan.

Katanya, beliau hanya mengetahui suaminya terlibat dalam kemalangan selepas dihubungi seorang pengguna Facebook.

“Ketika sedang bekerja di sebuah hospital di Kelantan saya tergerak hati membuka Facebook kira-kira jam 2 petang.

“Saya kemudian cuba menghubungi pemberi maklumat serta pihak pengurusan kem dan Ibu Pejabat Polis Daerah Setiu untuk mendapatkan kepastian,” katanya.


Ibu Turut Kongsi Kenangan

Sementara itu, ibu kepada Muhammad Aminuddin Amran, Naimah Zakaria, 54, dari Pulai Chondong, Kelantan berkata arwah anaknya sebelum ini memaklumkan tidak mahu membeli pakaian raya kerana ingin memakai kurta putih yang pernah digunakan menghadiri majlis tertentu di kem.

Menurutnya, tragedi itu mengingatkannya kepada peristiwa duka apabila seorang lagi anaknya turut maut dalam kemalangan jalan raya pada tahun 2024.

“Sehingga kini saya masih trauma setiap kali mahu menyambut hari raya kerana teringat peristiwa lalu dan tidak sangka sejarah kembali berulang apabila arwah Aminuddin pula mengikut jejak langkah abangnya itu,” katanya.

BERKAITAN: Dua Anggota Tentera Maut Kemalangan Dalam Perjalanan Ke Kelantan


Dalam Perjalanan Pulang Beraya

Muhammad Aminuddin Amran dan Mohamad Shakiran Saidi merupakan rakan setugas di Kem 7, Workshop Briged Tebrau Johor dan sedang dalam perjalanan pulang ke Kelantan untuk bercuti sempena Aidilfitri sebelum terlibat dalam kemalangan berkenaan.

Kedua-dua mereka disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.


Sumber: Berita Harian

SHARE:

TERKINI

Lelaki Maut Dilanggar Lari Ketika Pasang Bendera Parti
|
Seorang lelaki maut selepas dipercayai dilanggar sebuah lori yang…
SPRM Kelantan Tahan Ketua Balai Polis, Direman 7 Hari Kes Rasuah RM500
|
Seorang ketua balai polis direman selama tujuh hari bermula…
Kes Rogol, Samun di Tumpat: Mekanik Dipenjara 20 Tahun, 7 Sebatan
|
Kes yang menggemparkan rakyat Kelantan bulan lalu apabila seorang…
KRW FC Tunggu Keputusan FIFA, Sedia Tukar Nama Jika Perlu
|
Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) mengakui mereka bersedia…
Kenapa Pemain Sepanyol Diam Ketika Lagu Kebangsaan Dimainkan Di Piala Dunia?
|
Ramai Sangka Pemain Sepanyol Tak Hormat Lagu Kebangsaan, Rupanya…
Sepanyol Juara Piala Dunia 2026 Selepas Tewaskan Argentina 1-0
|
Argentina sudah melakukan hampir segala-galanya untuk terus bertahan.Walaupun Sepanyol…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!