Ibu Di Kuala Krai Tabah Jaga Bayi Hidrosefalus, Harap Anak Membesar Sihat

Bagi seorang ibu, melihat anak membesar dengan sihat sudah cukup membahagiakan walaupun ujian yang diberikan tidak sama seperti keluarga lain.

Itulah luahan Nur Shahera Mad Nasir, 34, apabila berkongsi kisah anak bongsunya, Nur Imani Salsabila Muhd Ismadi Adli, yang menghidap hidrosefalus atau lebihan cecair dalam kepala sejak lahir.

“Saya tak minta dia jadi normal macam anak lain tapi cukup tengok dia membesar dengan sihat.

“Kehadirannya dalam hidup saya bukan beban malah bersyukur kerana terpilih menjadi ibu kepada anak syurga dan terlalu sayangkannya,” katanya.

Nur Shahera yang menetap di Kampung Pahi, Kuala Krai berkata, Imani yang berusia 42 hari ketika temu bual itu merupakan anak bongsu daripada tiga beradik.

Dikesan Ketika Hamil 30 Minggu

Menurutnya, masalah kesihatan itu dikesan ketika kandungannya berusia 30 minggu dan pada awalnya dia masih positif untuk terus kuat.

Namun selepas melahirkan anaknya, dia menangis apabila melihat keadaan Imani yang turut dilahirkan tanpa telinga kanan.

“Susah juga nak menerima hakikat pada awalnya malah setiap malam menangis sebab patah semangat.

“Tapi insan terdekat terutama emak, nenek dan kawan banyak beri semangat untuk terus kuat,” katanya.

Kepala Makin Membesar, Doktor Cadang VP Shunt

Nur Shahera berkata, ukuran kepala Imani ketika lahir ialah 45 sentimeter (cm) dan terbaru meningkat kepada 54 cm.

Katanya, doktor mencadangkan pembedahan VP Shunt iaitu pemasangan tiub kekal di bawah kulit dari bahagian kepala sehingga ke perut bagi membantu mengalirkan lebihan cecair.

“Doktor cadangkan juga buat VP Shunt tapi belum teruskan kerana takut dengan risiko tapi jika tak lakukan, ada kemungkinan anak diserang sawan.

“Jadi, saya kena ikut nasihat doktor kerana ingin membuat pilihan yang terbaik demi anak selagi dia masih bernyawa,” katanya.

Minum Susu Guna Tiub Setiap Tiga Jam

Di sebalik ujian itu, Nur Shahera bersyukur kerana Imani mudah dijaga dan tidak banyak menangis.

Buat masa ini, Imani minum susu menggunakan tiub ‘Ryles’ setiap tiga jam.

“Sebelum ini, Imani dimasukkan ke wad selama empat hari kerana demam tapi sekarang sudah pulang,” katanya.

Kongsi Di TikTok Untuk Simpan Kenangan

Nur Shahera berkata, perkongsian di TikTok dibuat sebagai kenangan perjalanan hidup bersama anaknya, bukan untuk meraih simpati.

“Saya nak simpan memori di situ supaya dapat lihat semula perjalanan bersama anak syurga saya satu hari nanti,” katanya.

Ketika ini, beliau yang bekerja sebagai pembantu farmasi masih dalam tempoh berpantang dan merancang berhenti kerja bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada anak.

Namun, dia mengakui buntu kerana memerlukan wang untuk menampung kos pembedahan VP Shunt dan kelangsungan hidup.

Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun CIMB 7626319273 atas nama Nur Shahera Mad Nasir.


Sumber: Harian Metro

SHARE:

TERKINI

Ibu Di Kuala Krai Tabah Jaga Bayi Hidrosefalus, Harap Anak Membesar Sihat
|
Bagi seorang ibu, melihat anak membesar dengan sihat sudah…
Bengkel Buat Bakul Lori Terbakar Di Wakaf Bharu, Kerugian Cecah RM40,000
|
Seorang pemilik bengkel membuat bakul lori mengalami kerugian lebih…
Penghantar Makanan Hilang Kaki, Ibu Rayu Pemandu Langgar Lari Bertanggungjawab
|
Seorang ibu tidak mampu menahan sebak apabila anak lelaki…
Kelantan Red Warrior FC Seru Penyokong Penuhi Stadium, Tawar Tiket Beli 1 Percuma 4
|
Kelantan Red Warrior FC (KRW) nampaknya benar-benar mahu melihat…
Seleweng Dana Zakat RM230 Juta, SPRM Tahan Tiga Individu
|
Tiga individu termasuk seorang timbalan pengerusi sebuah badan bukan…
Tular Caj RM30 Baiki Kalkulator, KPDN Serbu Premis Di Kota Bharu Untuk Siasatan
|
Isu caj baiki kalkulator yang dimasuki air sehingga mencecah…
Jawatan Kosong Kelantan