Anak Pertama Dari Kampung Pok Keral, Tumpat Dapat Sambung Belajar Ke Jerman

Seorang anak yatim dari Kampung Pok Keral, Tumpat mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi individu pertama dari kampung tersebut yang berjaya melanjutkan pengajian ke Jerman dalam bidang kejuruteraan mekanikal.

Pelajar berkenaan, Ahmad Azzawajiri atau lebih dikenali sebagai Zawa, turut mendapat perhatian Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang sebelum ini membantu membuka laluan pendidikan buatnya.

Menerusi satu hantaran di media sosial, Asyraf Wajdi menyifatkan kejayaan Zawa bukan sahaja membanggakan keluarga, malah menjadi simbol harapan baharu kepada masyarakat luar bandar bahawa ilmu mampu mengubah kehidupan.

“Ingat Zawa ya, satu cara sahaja nak balas jasa Umi dan nak ubah kehidupan keluarga, hanya dengan ilmu, insyaAllah!” katanya.

Namun, beliau turut menegaskan bahawa kejayaan akademik perlu seiring dengan pegangan agama yang kukuh, terutama apabila berada di luar negara.

“Kalau sembahyang tak tinggal, Quran tak tinggal, asas tu yang akan jadi jati diri. Tahajjud kena buat, Tuhan dah bagi macam-macam nikmat,” katanya lagi.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan Zawa agar memanfaatkan peluang menimba ilmu serta meningkatkan penguasaan bahasa dengan bergaul bersama masyarakat tempatan di Jerman.

Tambahnya, prospek kerjaya juga cerah memandangkan terdapat ratusan syarikat Jerman yang beroperasi di Malaysia.

Terdahulu, Zawa yang kehilangan bapa sejak kecil berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM sebelum melanjutkan pengajian di German-Malaysian Institute (GMI) dengan pencapaian semua A termasuk Bahasa Jerman peringkat B1.

Zawa dijangka berlepas ke Jerman bagi menyambung pengajian dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal di bawah tajaan MARA.


Sumber: Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Kosmo

SHARE

TERKINI

KPDN Kelantan Tumpaskan Cubaan Seludup Lebih 10,000 KG Minyak Masak Bersubsidi
|
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN)…
Stadium Baharu Kelantan Di Bukit Merbau Kini Mula Menampakkan Rupa
|
Perkembangan terkini pembinaan Stadium Bukit Merbau di Pasir Puteh…
KelSDeaf Perlukan RM100,000 Untuk Jayakan Kejohanan Futsal Orang Pekak Malaysia Di Kelantan
|
Persatuan Sukan Orang Pekak Negeri Kelantan (KelSDeaf) memerlukan RM100,000…
Pusat Latihan Kelantan Red Warrior FC Guna Rumput Jenis Zoysia
|
Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) dilihat semakin serius…
Negara Diancam “Melayu Phobia”, Perlu Akta Khusus Lindungi Asal Usul Melayu
|
Kerajaan digesa menggubal satu akta khusus yang memperuntukkan bahawa…
[VIDEO] Pelancong Indonesia Tertarik Penggunaan Tulisan Jawi Di Kelantan
|
Sejak penerbangan terus Jakarta-Kota Bharu dibuka pada 16 Jun…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!