Bayi Sembilan Bulan Antara Lapan Warga Myanmar Ditahan Di Tumpat

Seorang bayi berusia sembilan bulan antara lapan warga Myanmar yang ditahan bersama seorang lelaki tempatan dalam operasi di Neting, Pengkalan Kubor, Tumpat, pada Ahad.

Kesemua warga asing itu terdiri daripada tiga lelaki dan lima perempuan berusia antara 18 hingga 31 tahun, termasuk bayi berkenaan.

Ketua Polis Daerah Tumpat, ACP Mohd Khairi Shafie berkata, tangkapan dilakukan kira-kira jam 5 pagi oleh sepasukan anggota Task Force Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan yang sedang menjalankan rondaan.

Menurutnya, anggota bertugas mengesan sebuah Perodua Myvi berwarna kuning dalam keadaan mencurigakan sebelum pemandunya dipercayai cuba melarikan diri.

Myvi terbabas langgar penghadang jalan

“Pemandu kereta dipercayai cuba melarikan diri sebelum kenderaan itu terbabas dan melanggar penghadang jalan. Pemandu berusia 34 tahun kemudian berjaya ditahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua warga Myanmar yang berada di dalam kenderaan itu gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.

Lelaki tempatan berusia 34 tahun berkenaan pula disyaki bertindak sebagai tekong yang membawa kumpulan warga asing terbabit.

Mohd Khairi berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan individu lain yang dipercayai turut terlibat dalam kegiatan berkenaan.

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!