Baru enam bulan dibebaskan dari penjara, seorang lelaki berusia 34 tahun sekali lagi berdepan tindakan pihak berkuasa apabila dipercayai terbabit dalam kegiatan membawa pendatang tanpa izin di Tumpat.
Lelaki itu ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) kira-kira jam 5 pagi Ahad selepas kereta Perodua Myvi dipandunya terbabas ketika cuba melarikan diri daripada pemeriksaan di Jalan Pak Keral menghala ke Jalan Tali Air, Kampung Neting.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, suspek menyedari kehadiran anggota Task Force Batalion 7 PGA yang sedang menjalankan Ops Taring Wawasan Kelantan sebelum memecut kenderaannya.
Bagaimanapun, kereta itu terbabas di bahu jalan berhampiran sebuah sekolah.
“Suspek cuba melarikan diri selepas diarahkan keluar dari kenderaan, namun berjaya ditahan anggota PGA,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Lapan warga Myanmar ditemukan dalam Myvi
Pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan itu menemukan lapan warga Myanmar terdiri daripada tiga lelaki, empat wanita dan seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan.
Kesemua mereka berusia antara sembilan bulan hingga 31 tahun dan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.
Menurut Ahmad Radzi, siasatan awal mendapati lelaki berkenaan mengaku terbabit dalam kegiatan membawa pendatang asing secara sambilan sejak bulan ini.
Malah, penghantaran yang dilakukan itu didakwa merupakan kali pertama baginya.
“Suspek mendakwa diarahkan seorang lelaki tempatan yang tidak dikenalinya untuk mengambil dan menghantar migran berkenaan, dengan bayaran RM450 bagi setiap perjalanan selepas urusan penghantaran selesai menggunakan kereta yang disewa,” katanya.
Migran dipercayai masuk melalui Pantai Geting
Ahmad Radzi berkata, lapan warga Myanmar itu dipercayai memasuki negara ini melalui Pantai Geting, Tumpat dengan bantuan ejen dari Myanmar.
Ejen berkenaan didakwa mengenakan bayaran antara RM6,000 hingga RM10,000 bagi setiap individu.
Mereka sepatutnya dihantar ke Stesen Bas Melor, Pasir Mas sebelum meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur.
Rampasan bernilai RM33,100
Dalam operasi itu, PGA turut merampas sebuah Perodua Myvi yang dianggarkan bernilai RM25,000, selain lapan telefon bimbit bernilai RM8,000 dan wang tunai RM100.
Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM33,100.
Kes berkenaan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat untuk siasatan lanjut.
Sumber: Bernama
