Seramai 27 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi bersepadu di Stesen Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Mentara, Gua Musang selepas 136 individu diperiksa dalam tempoh dua hari.
Operasi pada Isnin dan Selasa lalu itu dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Dalam operasi sama, dua kenderaan turut disita bagi tujuan tindakan penguatkuasaan lanjut.
Pengarah JIM Kelantan, Garry Belayong Anak John Siki berkata, operasi berkenaan dilaksanakan bagi mempergiat penguatkuasaan undang-undang imigresen serta membanteras kehadiran PATI di daerah berkenaan.
Menurutnya, kesemua 27 individu yang ditahan disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
“Dalam operasi selama dua hari itu juga, dua kenderaan turut disita bagi tujuan tindakan penguatkuasaan lanjut.
“JIM Kelantan akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan secara berterusan bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen negara serta mengekang aktiviti yang melanggar peraturan imigresen,” katanya.
