Kilang Penapisan Minyak Sawit RM200 Juta Dibuka Di Pengkalan Chepa

Satu lagi pelaburan berskala besar memasuki Kelantan apabila kilang penapisan minyak sawit bernilai RM200 juta dibuka di Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa II, Kota Bharu.

Pembukaan kilang yang dikendalikan Liquid Palm Edible Oils Sdn Bhd (LPEO), syarikat di bawah Kumpulan iKHASAS itu dijangka memperkukuh industri hiliran sawit selain merancakkan sektor pembuatan di negeri ini.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, pembangunan berkenaan menunjukkan keyakinan sektor swasta terhadap potensi Kelantan sebagai destinasi pelaburan industri.

Menurutnya, pelaburan keseluruhan berjumlah RM200 juta itu merangkumi pembangunan dan naik taraf kemudahan perindustrian serta beberapa komponen sokongan lain.

Mampu proses 17,000 tan minyak sawit sebulan

Kilang berkenaan mempunyai kapasiti memproses sehingga 17,000 tan metrik minyak sawit mentah setiap bulan.

Kapasiti itu dilihat mampu menyokong perkembangan industri hiliran sawit di Kelantan, sekali gus membuka ruang kepada pertumbuhan aktiviti ekonomi berkaitan.

Lebih menarik, operasi LPEO turut menyumbang kepada kira-kira 200 peluang pekerjaan secara langsung di kilang berkenaan.

Mohamed Fadzli berkata, peluang pekerjaan turut berpotensi diwujudkan dalam sektor sokongan seperti logistik, pengangkutan dan penyelenggaraan.

“Operasi LPEO juga menyumbang kepada kira-kira 200 peluang pekerjaan secara langsung di kilang, selain mewujudkan peluang pekerjaan dalam sektor sokongan termasuk logistik, pengangkutan dan penyelenggaraan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perasmian Kilang Memproses Minyak LPEO di Pengkalan Chepa.

Kerajaan negeri alu-alukan pelaburan berkualiti

Dalam pada itu, Mohamed Fadzli berkata kerajaan negeri akan terus mengalu-alukan kemasukan pelaburan berkualiti dan berdaya saing.

Katanya, pelaburan seperti itu penting bagi mempelbagaikan kegiatan ekonomi serta memberikan manfaat jangka panjang kepada pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat.

Pembukaan kilang berkenaan dijangka menjadi antara pemangkin kepada perkembangan sektor pembuatan dan industri hiliran sawit di Kelantan.

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!