Sebanyak 2.5 tan abu sisa naskhah al-Quran dilupuskan secara tertib dan penuh penghormatan di perairan Tok Bali, Pasir Puteh, hari ini.
Timbalan Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Shafril Azmi Shaharin berkata, pelupusan itu dilaksanakan bagi memastikan sisa naskhah al-Quran yang tidak lagi boleh digunakan dikendalikan mengikut ketetapan hukum syarak serta peruntukan undang-undang.
Menurut beliau, proses berkenaan turut melibatkan kepakaran agama daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK), selain bantuan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan bagi aspek keselamatan dan perjalanan ke laut.
“Penyelarasan kepakaran agama daripada JAHEAIK menjamin pematuhan hukum syarak sepanjang proses pengendalian manakala aspek keselamatan dan perjalanan ke laut dipastikan melalui kepakaran teknikal dan maritim APMM,” katanya selepas Program Pemuliaan (Pelupusan) Abu Al-Quran di perairan Tok Bali, hari ini.
22,002 Naskhah Al-Quran Dikumpulkan
Shafril Azmi berkata, pelaksanaan program itu merupakan sebahagian daripada usaha KDN memastikan naskhah al-Quran yang rosak, tidak lengkap atau tidak mempunyai perakuan sah diuruskan dengan kaedah sewajarnya.
Sepanjang tahun ini, sebanyak 22,002 naskhah al-Quran berjaya dikumpulkan menerusi 350 Program Jom Exchange Al-Quran (JEQ) di seluruh negara.
Jumlah tersebut terdiri daripada 14,691 naskhah yang rosak atau lusuh dan 7,311 naskhah tanpa perakuan KDN.
Menurutnya, Program JEQ turut memberi peluang kepada masyarakat menukar naskhah lama atau rosak dengan naskhah baharu yang diluluskan Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Al-Quran (LPPPQ) KDN.
Program itu juga bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menggunakan naskhah al-Quran yang mempunyai perakuan sah.
Orang Ramai Diingatkan Semak Pelekat Hologram
Shafril Azmi berkata, KDN turut mengingatkan orang ramai, pengimport, penerbit dan penjual supaya mematuhi peruntukan di bawah Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986.
“KDN turut mengingatkan orang ramai, pengimport, penerbit dan penjual supaya sentiasa mematuhi peruntukan di bawah Akta Pencetakan Teks Al-Quran 1986.
“Orang ramai dinasihatkan menyemak kehadiran Pelekat Hologram KDN serta cop kelulusan LPPPQ sebelum membeli mana-mana naskhah al-Quran bagi memastikan ia sah dan diluluskan pihak berkuasa,” katanya.
Beliau menegaskan KDN tidak akan berkompromi terhadap aktiviti penjualan atau pengedaran al-Quran tanpa perakuan sah yang boleh mengelirukan umat Islam.
Sumber: Bernama
