Dua beradik yang merupakan cucu kepada tokoh ulama terkenal Kelantan, Allahyarham Tuan Guru Haji Abdullah Lubuk Tapah, mencipta kejayaan membanggakan apabila masing-masing berjaya memperoleh ijazah Doktor Falsafah (PhD) pada istiadat konvokesyen yang sama.
Lebih membanggakan, kedua-duanya menghasilkan kajian penyelidikan berkaitan bidang kewangan Islam dan keusahawanan yang menggabungkan asas ilmu agama dengan keperluan dunia perniagaan moden.
Mereka ialah Dr. Nusaibah Hilaluddin, 34, dan adiknya, Dr. Khaulah Hilaluddin, 32, yang menerima ijazah PhD pada Istiadat Konvokesyen Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Ke-16 di Dewan Tuanku Canselor, UMK Bachok, pada 1 November lalu.
Foto: Universiti Malaysia Kelantan (UMK)
Dr. Nusaibah memperoleh PhD dalam bidang Perbankan dan Kewangan Islam daripada Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP).
Beliau menghasilkan tesis bertajuk Ar-Rahnu sebagai Instrumen Pembiayaan Alternatif dalam Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Pantai Timur Berdasarkan Kerangka Maqasid Syariah.
Kajian berkenaan memberi tumpuan kepada peranan sistem pajak gadai Islam atau Ar-Rahnu sebagai alternatif pembiayaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), berdasarkan kerangka Maqasid Syariah.
Sementara itu, adiknya, Dr. Khaulah, memperoleh PhD dalam bidang Keusahawanan menerusi penyelidikan bertajuk Keusahawanan Islam dan Penciptaan Perniagaan Baharu berdasarkan Al-Kutub Al-Tis'ah.
Lebih manis, Dr. Khaulah turut menerima anugerah Outstanding Postgraduate Research Award (PhD) pada Majlis Suar Gemilang FKP baru-baru ini.
Bermula dengan pengajian Syariah di Jordan
Kejayaan dua beradik ini turut mempunyai latar belakang pendidikan agama yang kukuh apabila kedua-duanya memulakan pengajian tinggi dalam bidang Syariah (Fiqh wa Usuluh) di Universiti Al Al-Bayt, Jordan.
Selepas menamatkan pengajian di Jordan, mereka kembali ke tanah air sebelum meneruskan pengajian dalam bidang keusahawanan dan kewangan di UMK.
Dr. Nusaibah terlebih dahulu menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Syariah (Fiqh wa Usuluh) pada 2014 sebelum memperoleh Ijazah Sarjana Keusahawanan (Kewangan) dari UMK pada 2019.
Adiknya, Dr. Khaulah pula memperoleh ijazah dalam bidang yang sama dari Universiti Al Al-Bayt pada 2015, sebelum melengkapkan pengajian Sarjana Keusahawanan (Kewangan) di UMK pada 2020.
Kedua-duanya turut mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Islam Al-Qari sebelum menyambung persekolahan menengah di Maahad Muhammadi (Perempuan), Kota Bharu.
Didikan keluarga menjadi sumber inspirasi
Di sebalik pencapaian akademik tersebut, kedua-dua mereka mengakui sokongan dan didikan keluarga menjadi antara faktor penting yang membentuk perjalanan pendidikan masing-masing.
Bapa mereka, Dr. Hilaluddin Abdullah, merupakan pesara pensyarah Jabatan Usuluddin, Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Nilam Puri.
Beliau turut memiliki PhD dalam bidang Usuluddin dan Falsafah, pengkhususan Hadis, dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang diperoleh pada 2005.
Ibu mereka, Nafisah Abdullah pula merupakan guru Fizik di Maahad Muhammadi (Perempuan), Kota Bharu, dan memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam bidang Fizik dari UKM pada 1992.
Menurut Dr. Nusaibah, keluarga mereka sejak dahulu amat menitikberatkan disiplin serta memupuk kecintaan mendalam terhadap ilmu agama.
"Ini membuktikan bahawa tradisi keilmuan Islam yang diasaskan oleh nenda di institusi pondok seperti Pondok Lubok Tapah tidak pernah lapuk, malah terus subur dan berkembang dalam bentuk kepakaran akademik demi kemaslahatan masyarakat dan ummah," katanya.
Mewarisi legasi Haji Lah Pondok Lubuk Tapah
Apa yang menjadikan kejayaan dua beradik ini lebih istimewa ialah hubungan kekeluargaan mereka dengan Allahyarham Tuan Guru Haji Abdullah bin Haji Abdul Rahman, tokoh ulama yang cukup dikenali dalam dunia pendidikan pondok di Kelantan.
Melalui sebelah ibu, Dr. Nusaibah dan Dr. Khaulah merupakan cucu kepada Allahyarham yang lebih dikenali sebagai Haji Lah Pondok Lubuk Tapah, Pasir Mas.
Allahyarham merupakan bekas Mudir Pondok Lubuk Tapah yang pernah menuntut dan mengajar di Masjidil Haram, Makkah selama bertahun-tahun.
Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Anggota Jemaah Ulama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).
Sumbangan besarnya dalam bidang pendidikan dan keilmuan Islam turut diiktiraf apabila beliau dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Negeri Kelantan pada 2005.
Kejayaan dua cucunya memperoleh PhD dalam bidang yang menghubungkan prinsip Islam dengan perkembangan ekonomi moden sekali gus memperlihatkan kesinambungan tradisi keilmuan keluarga berkenaan.
Warisan ilmu yang suatu ketika dahulu berkembang melalui institusi pondok kini diteruskan pula dalam bentuk penyelidikan akademik yang diharap dapat memberi manfaat kepada masyarakat dan ummah.
Sumber: Universiti Malaysia Kelantan (UMK)
