Manuskrip Tok Kenali Bongkar Warisan Islam Nusantara

Warisan Islam di Nusantara membuktikan sempadan geografi bukan penghalang kepada persaudaraan, perkongsian ilmu serta semangat wakaf yang kukuh sejak ratusan tahun dahulu.

Semangat itu dapat dilihat menerusi kewujudan Muzium Al-Quran Melayu Raya di Narathiwat, Thailand, yang menyimpan pelbagai naskhah al-Quran purba hasil sumbangan dan wakaf ulama serta kerabat diraja dari seluruh dunia termasuk Malaysia.

Pegawai muzium, Nik Ilham Nik Yusup berkata, muzium itu menghimpunkan 184 koleksi al-Quran dan manuskrip tulisan tangan yang berusia antara 100 hingga lebih 1,000 tahun.

Ada Nombor Pengenalan Dari Istanbul

Menurut Nik Ilham, setiap koleksi yang dipamerkan turut mempunyai nombor pengenalan khas daripada Pustaka Suleymaniyah di Istanbul, Turki, bagi memudahkan proses dokumentasi, pemuliharaan dan rujukan sejarah.

Katanya, keistimewaan koleksi itu bukan hanya terletak pada usia, malah sebahagian besar naskhah diperoleh melalui wakaf daripada waris ulama dan keturunan diraja, bukannya dibeli.

Naskhah Tok Kenali Antara Koleksi Paling Bernilai

Bagi pengunjung dari Malaysia, antara koleksi paling bernilai ialah naskhah kitab tulisan milik Tok Kenali yang dianggarkan berusia kira-kira 160 tahun, selain al-Quran peribadi milik Tok Kenali.

Nik Ilham berkata, manuskrip berkenaan diperoleh daripada sebuah pondok di Kubang Kerian, Kelantan, sekali gus menjadi bukti kesungguhan ulama tempatan dalam memelihara serta menyebarkan ilmu al-Quran sejak dahulu lagi.

Karya Syeikh Daud Al-Fatani Guna Campuran Emas

Selain itu, muzium berkenaan turut menempatkan karya tulisan tangan milik Syeikh Daud al-Fatani yang dianggarkan berusia lebih 200 tahun.

Menurut beliau, manuskrip tersebut unik kerana menggunakan campuran emas pada tulisan tertentu, manakala dakwat berwarna pula dihasilkan daripada ekstrak bunga-bungaan semula jadi.

Manuskrip Dari Andalusia Dan Naskhah Alam Melayu Tertua

Muzium Al-Quran Melayu Raya turut menyimpan naskhah al-Quran tertua di Alam Melayu hasil tulisan Syeikh Nuruddin ar-Raniri yang berusia sekitar 400 tahun, selain manuskrip berusia 800 tahun dari Andalusia, Sepanyol.

Nik Ilham berkata, terdapat juga koleksi unik yang dihasilkan menggunakan kulit kayu serta kulit binatang.

Simbol Penyatuan Warisan Islam Nusantara

Menurut beliau, kewujudan koleksi berharga itu memperlihatkan usaha memartabatkan syiar Islam dan memelihara khazanah ilmu yang tidak pernah terikat dengan sempadan negara.

Walaupun terletak di selatan Thailand, muzium tersebut terus mengangkat roh dan warisan keilmuan Tanah Melayu dalam setiap ruang pamerannya.

Katanya lagi, semangat wakaf yang dizahirkan oleh keturunan ulama serta raja-raja Melayu menjadikan muzium itu bukan sekadar pusat pemuliharaan manuskrip purba, malah simbol penyatuan warisan Islam Nusantara yang terus dihargai dan diwariskan kepada generasi akan datang.


Sumber: Bernama

SHARE:

TERKINI

Bayi 11 Bulan Meninggal Dunia Selepas Terjatuh Dari Kerusi Di Rumah Pengasuh
|
Seorang bayi perempuan berusia 11 bulan disahkan meninggal dunia…
Tujuh Beranak Di Tumpat Lega Gangguan Mistik Hilang Selepas Sebulan
|
Sebuah keluarga tujuh beranak di Kampung Kutan Sungai, Tumpat…
SMKA Naim Lilbanat Sekolah Pertama Di Kelantan Miliki Kelas Berasaskan AI
|
Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Naim Lilbanat, Kota Bharu…
Durian Serendah RM1.30 Sekilo Di Tumpat, Harga Esok Ditentukan Pembeli
|
Lambakan durian musim ini memberi rezeki kepada pencinta raja…
Suami Tetak Isteri Guna Parang Sebab Tegur Jiran Lelaki
|
Seorang suri rumah berusia 40 tahun cedera parah selepas…
KRW FC Terima Suntikan Penajaan Baharu Daripada Raja Perfume
|
Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) terus menerima sokongan…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!