Tak Sempat Naik Bas Pergi KL, Lapan PATI Ditahan Di Lembah Sireh

Cubaan lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar dan Nepal meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur gagal selepas mereka ditahan di Terminal Bas Lembah Sireh, Kota Bharu, pada Selasa.

Menurut laporan Berita Harian, kesemua PATI termasuk seorang wanita itu ditahan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) ketika dipercayai sedang menunggu bas ekspres ke ibu negara untuk bekerja sebagai buruh.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, tangkapan pertama dilakukan kira-kira pukul 7 pagi selepas pasukannya memeriksa empat lelaki warga asing.

Keempat-empat mereka yang berusia antara 19 hingga 28 tahun gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah.

"Ketika disoal siasat, mereka berusia 19 hingga 28 tahun itu memaklumkan menaiki perahu dari Thailand ke pangkalan haram dipercayai di tebing sungai Kelantan.

"Setiap mereka dikenakan bayaran RM11,000 bagi keseluruhan perjalanan dari negara asal dan seterusnya menaiki kereta sebelum diturunkan di Terminal Bas di Kota Bharu untuk ke Kuala Lumpur dengan dijanjikan pekerjaan sebagai buruh," katanya menerusi kenyataan.

Pemandu Kereta Melarikan Diri

Tangkapan kedua dilakukan di lokasi sama selepas anggota PGA mengesan sebuah Honda Accord menurunkan empat lagi warga asing.

Pemandu kereta berkenaan bagaimanapun segera melarikan diri selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Empat warga Nepal berusia antara 18 hingga 27 tahun termasuk seorang wanita kemudian ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri.

"Mereka mengaku dibawa seorang lelaki dengan menaiki perahu dan dikenakan bayaran RM7,000 setiap individu bagi perjalanan dari negara asal.

"Mereka dipercayai masuk melalui pesisir pantai di Kampung Baru Nelayan, Tumpat dan dibawa ke Terminal Bas Kota Bharu untuk menaiki bas ke Kuala Lumpur," katanya.

Kesemua lapan individu yang ditahan kini disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Sumber: Berita Harian

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!