12 PATI Warga Myanmar Ditahan Dalam Dua Kes Berasingan Di Kuala Krai Dan Gua Musang

Seramai 12 warga Myanmar ditahan dalam dua operasi berasingan di Kuala Krai dan Gua Musang selepas polis mengesan mereka menaiki dua kenderaan dalam keadaan mencurigakan tanpa dokumen perjalanan yang sah.

Dalam operasi pertama kira-kira jam 3.45 pagi, 11 November lalu, anggota Unit Kereta Peronda Polis (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai menahan sebuah Nissan X-Trail di hadapan Klinik Kesihatan Kampung Keroh, Jalan Kota Bharu-Gua Musang.

Pemeriksaan mendapati kenderaan itu dipandu seorang lelaki warga Myanmar bersama empat penumpang wanita yang juga senegara dengannya.

Kesemua lima individu terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan atau pengenalan diri yang sah sebelum ditahan untuk siasatan lanjut.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Mazlan Mamat, siasatan awal mendapati pemandu berkenaan dipercayai mengambil kesemua warga asing itu di Kota Bharu sebelum membawa mereka ke Kuala Lumpur untuk bekerja.

Pemandu itu dipercayai menerima bayaran sebanyak RM400 bagi urusan berkenaan.

Polis turut merampas Nissan X-Trail dan sebuah telefon bimbit.

Lelaki tempatan dipercayai bawa tujuh warga Myanmar

Dalam kejadian berasingan pada hari sama, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun selepas menemui tujuh warga Myanmar dalam sebuah Perodua Aruz di Kilometer 10, Jalan Sungai Terah, Gua Musang.

Kenderaan itu ditahan kira-kira jam 10.50 pagi ketika sepasukan anggota MPV IPD Gua Musang menjalankan rondaan cegah jenayah.

Pemeriksaan mendapati tujuh penumpang terbabit terdiri daripada lima lelaki dan dua wanita berusia antara 17 hingga 39 tahun.

Kesemua mereka dipercayai warga Myanmar dan gagal menunjukkan dokumen perjalanan atau pengenalan diri yang sah.

Pemandu serta tujuh penumpang itu kemudian ditahan bagi membantu siasatan, manakala sebuah Perodua Aruz dan telefon bimbit turut dirampas.

Siasatan awal mendapati lelaki tempatan berkenaan dipercayai mengambil kesemua warga asing itu di sekitar Pasir Mas sebelum membawa mereka ke Kuala Lumpur.

Dia dipercayai menerima bayaran RM300 bagi setiap individu.

Polis kesan pihak lain yang terlibat

Bagi kedua-dua kes, polis masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti pihak lain yang dipercayai terbabit dalam kegiatan membawa warga asing tanpa dokumen sah itu.

Kes di Kuala Krai disiasat mengikut Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63.

Sementara itu, kes di Gua Musang disiasat mengikut Seksyen 55E dan Seksyen 6(1)(c) akta sama.

Polis turut mengingatkan orang ramai supaya tidak melindungi, membawa atau membantu mana-mana pendatang asing yang tidak mempunyai dokumen sah.

Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan berkenaan diminta menyalurkannya kepada balai polis berhampiran.

Dalam kenyataan berasingan, Ketua Polis Daerah Kuala Krai turut menasihatkan masyarakat supaya tidak menyediakan pengangkutan atau rumah sebagai tempat penginapan sementara kepada pendatang asing tanpa izin.

Maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan migran juga boleh disalurkan menerusi aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP).

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!