Tiga pekerja sebuah syarikat percetakan didakwa dikurung selama hampir tiga minggu selepas disyaki mencuri barangan milik syarikat dalam satu kejadian yang menggemparkan di Jakarta Pusat, Indonesia.
Menurut laporan, kejadian bermula apabila seorang pekerja didapati mencuri barangan syarikat sebelum mengaku melakukan perbuatan itu bersama dua lagi rakan sekerjanya ketika disoal.
Bagaimanapun, pihak syarikat didakwa tidak membuat laporan polis. Sebaliknya, ketiga-tiga pekerja terbabit dikurung di dalam kawasan kilang.
Difahamkan, keluarga mangsa turut dipaksa membayar wang ganti rugi sebanyak kira-kira Rp50 juta (sekitar RM13,000) sebagai syarat untuk membebaskan mereka.
Namun, walaupun salah sebuah keluarga telah membuat pembayaran, mangsa masih tidak dibebaskan seperti yang dijanjikan.
Sepanjang tempoh dikurung, mereka didakwa tidak diberi makanan yang mencukupi selain menjadi mangsa kekerasan dan diawasi oleh dua individu.
Ketika diselamatkan, dua mangsa ditemui dengan kaki diikat menggunakan tali baja, manakala seorang lagi dikurung di ruang berasingan dengan kaki dirantai menggunakan rantai besi.
Kesemua mangsa kini berjaya diselamatkan, manakala pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian tersebut.
Sumber: Kumparan News
SHARE:
