Kerajaan Negeri Kelantan menyumbangkan RM20,000 kepada Alif Rakib sebagai penghargaan atas kejayaannya mencipta sejarah dalam kejohanan ONE Championship.
Anak kelahiran Kelantan itu menjadi rakyat Malaysia pertama bergelar Juara Dunia Interim Muay Thai Strawweight ONE Championship.
Menurut hantaran di Facebook Menteri Besar Kelantan, Alif diraikan bersama keluarganya di Kediaman Rasmi Menteri Besar Kelantan pada Rabu.
Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan, Zamakhshari Muhamad.
Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Haji Mohd Nassuruddin Haji Daud berkata, kejayaan Alif memperlihatkan kesungguhan, keberanian dan disiplin seorang anak muda yang telah mengharumkan nama Kelantan serta Malaysia di pentas antarabangsa.
“Sebagai tanda penghargaan atas pencapaian membanggakan ini, Kerajaan Negeri Kelantan menyumbangkan RM20,000 kepada Alif Rakib,” katanya.
Dijangka Lawan Prajanchai pada Oktober
Mohd Nassuruddin turut memaklumkan bahawa Alif dijangka kembali beraksi pada Oktober ini.
Alif dijangka menentang Juara Dunia Strawweight Muay Thai, Prajanchai PK Saenchai dalam pertarungan yang dijadualkan berlangsung di Malaysia.
“Sama-sama kita doakan dan berikan sokongan kepada Alif Rakib. Semoga terus cemerlang, melangkah lebih jauh dan terus mengharumkan nama Kelantan serta Malaysia di persada dunia,” katanya.
