Tak Tahan Muka Dijadikan ‘Sticker WhatsApp’, Lelaki Bakar Tempat Kerja

Gara-gara tidak tahan wajahnya kerap dijadikan pelekat WhatsApp dan bahan ejekan, seorang lelaki dipercayai bertindak membakar sebuah bilik mesyuarat di tempat kerjanya.

Menurut laporan kumparanNews, lelaki berusia 24 tahun dikenali sebagai MFA itu merupakan pegawai yang bertugas sebagai pengendali pusat panggilan di Dinas Komunikasi dan Informatika (Diskominfo) Kabupaten Kutai Kartanegara, Kalimantan Timur, Indonesia.

Kejadian berlaku di pejabat Diskominfo Kukar di Jalan Pahlawan, Kelurahan Timbau, Tenggarong, kira-kira jam 7.20 pagi pada 11 Ogos 2026.

Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Kutai Kartanegara, AKP Elnath Splendidta Wafiq Gemilang berkata, rasa tidak puas hati terhadap beberapa rakan sekerja dipercayai menjadi antara motif kejadian.

Gambar Dijadikan Pelekat WhatsApp

MFA dikatakan berasa terganggu selepas gambarnya dirakam tanpa pengetahuan sebelum dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp dan dijadikan bahan gurauan.

Gambar berkenaan turut diubah menjadi pelekat WhatsApp dan digunakan berulang kali dalam perbualan kumpulan tersebut.

Polis masih menyiasat sejauh mana tindakan berkenaan menjadi punca suspek membakar tempat kerjanya.

Beli Petrol Sebelum Kejadian

Sebelum kejadian, MFA dipercayai membeli petrol bernilai antara Rp30,000 hingga Rp40,000, bersamaan kira-kira RM8 hingga RM10.

Pembelian itu dipercayai dilakukan antara jam 6 hingga 7 pagi sebelum suspek menuju ke bangunan Diskominfo.

Dia kemudian didakwa menyiram petrol di belakang pintu sebuah bilik mesyuarat di tingkat tiga sebelum menyalakan api menggunakan pemetik api.

Selepas menyedari kehadiran seorang saksi, MFA melarikan diri melalui tangga sambil membawa bekas petrol.

Suspek turut menekan butang kecemasan di hadapan ruang Informasi Komunikasi Publik (IKP), menyebabkan penggera bangunan berbunyi.

Bilik Mesyuarat Rosak Teruk

Kebakaran berjaya dipadamkan kira-kira jam 8.30 pagi selepas kakitangan Diskominfo, orang awam dan anggota bomba serta penyelamat bertungkus-lumus mengawal api.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan, namun sebuah bilik mesyuarat di tingkat tiga mengalami kerosakan teruk.

Pemeriksaan di lokasi menemukan tiga kamera litar tertutup (CCTV), sisa bahan terbakar, satu bekas air mineral berkapasiti 19 liter dan sebotol air berukuran 1.5 liter yang masih mengandungi kira-kira satu liter petrol.

Semua barangan berkenaan diambil bagi membantu siasatan.

Dakwaan Dipukul Turut Disiasat

Pemeriksaan awal mendapati kebakaran itu dipercayai dilakukan dengan sengaja.

MFA kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Kutai Kartanegara untuk pemeriksaan lanjut. Polis turut mengambil keterangan daripada beberapa saksi dalam kalangan kakitangan Diskominfo.

Pihak polis juga menerima maklumat bahawa MFA mungkin dipukul ketika ditahan, namun setakat ini belum ada maklumat yang mengesahkan dakwaan tersebut.

“Kalau pemukulan, ini belum kita dengar. Kita fokus dari pembakarannya saja,” kata Elnath.

Polis masih menyiasat motif, kronologi dan bukti yang dikumpulkan sebelum menentukan tindakan undang-undang sewajarnya.

Sumber: kumparanNews

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!