Semua tujuh skop kajian awal bagi cadangan pembinaan jalan dan jambatan sempadan antarabangsa yang menghubungkan Pengkalan Kubor, Tumpat dengan Tak Bai, Narathiwat telah selesai dilaksanakan.
Penyempurnaan kajian tersebut menyediakan asas teknikal untuk menentukan lokasi dan jajaran paling sesuai bagi projek yang bakal menghubungkan Malaysia dengan Thailand itu.
Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan, Dato’ Dr. Izani Husin berkata, pelaksanaan kerja awalan projek tersebut telah diluluskan Agensi Pusat di bawah Rolling Plan 3, Rancangan Malaysia Kedua Belas dengan kos siling RM8 juta.
Tujuh skop yang telah disempurnakan merangkumi kajian impak trafik, penilaian awal impak alam sekitar, penilaian awal impak sosial, reka bentuk konsep, kerja ukur tanah, kerja siasatan tapak dan reka bentuk awalan.
“Semua skop kerja awalan bagi projek tersebut telah disempurnakan. JKR telah dilaporkan dan semua pandangan serta penemuan daripada kajian-kajian ini telah lengkap dan dihantar kepada JKR,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Wakaf Bharu, Mohd Rusli Abdullah pada Persidangan Kali Kedua Bagi Tempoh Penggal Keempat Dewan Negeri Kelantan di Kota Darulnaim.
Projek Fizikal Belum Diluluskan
Menurut Izani, kajian tersebut penting bagi mengenal pasti lokasi serta jajaran paling sesuai untuk pembinaan jambatan baharu Malaysia–Thailand dan jalan baharu yang menjadi sebahagian daripada projek itu.
Bagaimanapun, selesainya kerja awalan tidak bermakna projek fizikal tersebut telah mendapat kelulusan untuk dibina.
Pelaksanaannya masih tertakluk kepada keutamaan projek Kerajaan Negeri serta pertimbangan dan kelulusan Agensi Pusat.
Permohonan bagi meneruskan pelaksanaan projek itu akan dikemukakan Kementerian Kerja Raya kepada Agensi Pusat untuk pertimbangan dan kelulusan.
Bergantung Perbincangan Malaysia–Thailand
Langkah seterusnya juga bergantung kepada perbincangan antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Thailand.
Ini kerana projek tersebut melibatkan hubungan rentas sempadan antarabangsa dan memerlukan penyelarasan antara kedua-dua negara.
“Sekarang ini kita hanya tengok perkara-perkara lain yang boleh diteruskan, bergantung kepada perbincangan antara kita dengan Thailand.
“Apapun, di pihak kita, kajian selesai,” jelasnya.
Sumber: inforakyat.kelantan.my
