Siti datang ke sebuah program di Perkampungan Cenderawasih dengan satu tujuan sahaja, iaitu untuk mengambil kotak bantuan.
Namun, wanita berusia 41 tahun itu kemudian mendakwa dirinya didaftarkan sebagai ahli sebuah parti politik tanpa pengetahuan.
Menurut laporan Malaysiakini, ketika sedang beratur, Siti diminta menyerahkan kad pengenalan untuk diambil gambar oleh seorang petugas.
“Apabila ditanya mengapa, mereka maklumkan ia untuk tujuan rekod. Saya tak tahu pun ia adalah untuk tujuan pendaftaran ahli parti mereka,” katanya.
Siti mendakwa tiada poster atau kain rentang dipasang bagi menerangkan tujuan program tersebut. Hanya terdapat sebuah khemah putih dan beberapa meja pendaftaran.
“Cuma ada satu khemah putih dan beberapa meja untuk pendaftaran. Saya sampai di situ sekitar jam 9 pagi dan ramai penduduk yang turut beratur untuk mendapatkan bantuan disediakan penganjur,” jelasnya.
Mazita Ahmad, 58, turut hadir mengambil bantuan pada hari berkenaan.
Dia berkata, petugas memaklumkan bantuan itu daripada PKR dan kad pengenalan penerima perlu diambil gambar. Namun, Mazita enggan menyerahkannya.
“Tapi saya tak bagi (kad pengenalan) dan terus bergerak dari situ selepas menerima kotak daripada petugas,” katanya.
Walaupun tidak menyerahkan kad pengenalan, Mazita memberikan nombor telefonnya. Pada sebelah malam, satu mesej OTP untuk mengakses laman web Adil diterimanya.
“Saya cuma ada bagi nombor telefon... sebelah malamnya saya terima mesej ringkas berbentuk nombor OTP (one time password) untuk akses ke laman web Adil,” katanya.
Baginya, apa yang berlaku bukan sekadar persoalan mengenai bantuan, tetapi melibatkan kepercayaan penduduk.
“Ini perkara yang sangat memalukan, sanggup ambil kesempatan seperti ini semata-mata untuk kepentingan parti mereka,” luahnya.
Wakil JPKK Perkampungan Cenderawasih, Mohd Asyraf Ibrahim turut bimbang dakwaan tersebut boleh menjejaskan hubungan baik dalam komuniti.
“Kami di Cenderawasih hidup aman damai, tidak pernah menjadikan perbezaan parti dalam hal pengagihan bantuan.
“Bahkan dalam JPKK pun wakil dari semua parti dipilih untuk menjadi ahli jawatan kuasa bagi memastikan setiap bantuan daripada mana-mana parti dapat diagihkan dengan teratur.
“Saya memang kecewa bila dimaklumkan perkara seperti ini berlaku, ia sangat tidak sihat kepada hubungan baik antara penduduk di sini,” katanya.
ADUN Semambu, Chan Chun Kuang pula berkata, beliau tidak mengetahui mengenai program itu dan meminta perkara tersebut dirujuk kepada Pusat Komuniti Madani Indera Mahkota.
Pengurus pusat berkenaan, Saifulzaman Mahmood menafikan pihaknya menipu penduduk.
Menurutnya, terdapat perbezaan antara Kotak Madani dengan kotak khusus parti untuk ahli lama dan baharu. Beliau turut meminta mana-mana penduduk yang merasakan diri mereka tertipu tampil memberikan maklumat supaya siasatan dan tindakan susulan boleh dilakukan.
Sumber: Malaysiakini
