Seorang wanita di daerah Muzaffarnagar, Uttar Pradesh, India didakwa mencederakan bapa mentuanya dengan memotong kemaluan lelaki itu menggunakan bilah pisau cukur selepas mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual dan rogol oleh selama dua tahun.
Kejadian yang berlaku di kawasan Budhana itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan serius sebelum dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Keadaannya dilaporkan kritikal dan telah dirujuk ke hospital pakar.
Menurut polis, wanita berusia sekitar 30-an itu kini berada dalam tahanan bagi membantu siasatan.
Dalam keterangannya kepada polis, wanita berkenaan mendakwa bapa mentuanya sering mengganggu dan merogolnya sejak dua tahun lalu.
Dia turut mendakwa pernah menceritakan perkara itu kepada suaminya, namun dakwaan tersebut tidak dipercayai.
Wanita itu berkata, ketika kejadian, bapa mentuanya sekali lagi didakwa cuba melakukan gangguan seksual terhadapnya sebelum dia bertindak mempertahankan diri menggunakan bilah pisau cukur yang telah disimpannya lebih awal kerana bimbang perkara sama akan berulang.
Siasatan awal mendapati wanita itu berkahwin kira-kira tujuh tahun lalu dan mempunyai dua orang anak perempuan berusia lima serta enam tahun.
Suaminya bekerja sebagai pemandu e-rikshaw di Haryana, manakala bapa mentuanya bekerja sebagai pemandu teksi tempatan. Difahamkan ibu mentuanya telah meninggal dunia, menyebabkan mereka tinggal serumah bersama dua anak kecil.
Beberapa penduduk sekitar mendakwa wanita itu pernah berkongsi mengenai gangguan yang dialaminya, namun dakwaan tersebut tidak diberi perhatian serius.
Polis memaklumkan siasatan masih dijalankan dan semua dakwaan yang dibuat oleh wanita itu sedang disemak, termasuk mendapatkan keterangan kedua-dua pihak, laporan perubatan serta bukti lain.
Setakat ini, tiada keputusan rasmi dikeluarkan berhubung kesahihan dakwaan gangguan seksual dan rogol yang dibuat terhadap bapa mentuanya.
Sumber: Royal Buletin
