Cuba Lari Sebelum Terbabas, PGA Rampas 1.2 Tan Beras Seludup Di Tumpat

Kegiatan membawa masuk beras dipercayai diseludup dari Thailand terbongkar selepas Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas sebanyak 1,216 kilogram beras pelbagai jenama dalam serbuan di Kampung Kubang Panjang, Tumpat, semalam.

Dalam operasi kira-kira jam 4 petang itu, anggota Strike Force Kompeni B, Batalion 7 PGA Kuantan turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun yang memandu van Nissan Vanette.

Komander Briged Tenggara, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, rampasan dilakukan menerusi Ops Taring Wawasan Kelantan selepas anggota polis mengesan sebuah van dalam keadaan mencurigakan ketika menjalankan rondaan di laluan Kota Bharu-Pengkalan Kubor.

Menurutnya, pemandu van berkenaan dipercayai cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota polis sebelum kenderaan dipandunya terbabas di kawasan Kampung Kubang Panjang.

Pemeriksaan lanjut menemukan 49 kampit beras pelbagai jenama dengan jumlah keseluruhan 1,216 kilogram.

Antara beras yang dirampas ialah 750 kilogram beras cap Mangga, 250 kilogram cap Nangka, 120 kilogram cap Serindit, 72 kilogram cap Angsa Mas dan 24 kilogram cap Pisang.

“Seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun yang memandu van itu, turut ditahan untuk siasatan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Hasil siasatan awal mendapati beras berkenaan dipercayai dibawa masuk dari Thailand melalui pangkalan haram Pohon Tar, Kuala Jambu sebelum dihantar ke Pasir Puteh.

Kes berkenaan diserahkan kepada Jabatan Kawalselia Padi dan Beras Negeri Kelantan untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 20 Akta Kawalselia Padi dan Beras Negara 1994.

Selain beras yang dianggarkan bernilai RM4,864, PGA turut merampas sebuah van Nissan Vanette bernilai RM18,000.

Keseluruhan nilai rampasan dalam operasi itu dianggarkan berjumlah RM22,864.

Sumber: Bernama


TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!