Ratusan Mata Kail Bersepah Di Pantai Geting, Kanak-Kanak Cedera Terpijak

Ratusan mata kail dipercayai ditinggalkan kaki pancing ditemukan bersepah di sepanjang pesisir Pantai Geting, Tumpat sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengunjung.

Lebih membimbangkan, mata kail berkenaan dilaporkan ditemukan sejak April lalu, ketika Pantai Geting menjadi tumpuan pemancing yang memburu ikan gelama.

Keadaan itu turut menyebabkan seorang kanak-kanak perempuan mengalami kecederaan selepas terpijak mata kail pada 4 Ogos lalu.

Menurut laporan Utusan, Anggota Penyelamat Pantai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Tumpat, Raja Andik Muhammad Irwan berkata, kira-kira 50 pemancing biasanya berkumpul di Pantai Geting pada malam Jumaat.

Katanya, setiap kali rondaan dilakukan pada keesokan harinya, anggota APM akan menemukan dan mengutip mata kail yang ditinggalkan bagi mengelakkan ia dipijak pengunjung.

“Biasanya malam Jumaat, kira-kira 50 pemancing bertumpu di pantai ini.

“Keesokannya, setiap kali meronda di pesisir pantai ini, kami menemukan mata kail yang ditinggalkan pemancing.

“Kejadian kanak-kanak perempuan terpijak mata kail pada 4 Ogos lalu membuktikan ancaman itu bukan lagi sekadar kebimbangan pengunjung,” katanya.

Mata Kail Berkarat Tersangkut Pada Selipar

Seorang pengunjung, Nor Asyikin Mat Nor, 37, pula berkata dia terkejut apabila mendapati mata kail yang sudah berkarat tersangkut pada selipar anaknya ketika berada di pantai berkenaan.

Katanya, dia bersyukur kerana mata kail itu tidak menusuk tapak kaki anaknya.

“Sangat bahaya kepada pengunjung, terutama kanak-kanak.

“Lagipun, anak-anak kecil ini suka berlari tanpa memakai selipar di atas pasir pantai. Kalau terpijak mata kail, boleh cedera kaki,” katanya.

Seorang lagi pengunjung, Mohd. Akmal Abdullah, 30, berkata dia ke Pantai Geting untuk berkelah namun tidak menyangka pesisir pantai berkenaan dipenuhi mata kail.

“Mata kail itu tersembunyi dalam pasir. Perlu berhati-hati ketika berjalan di pesisir pantai ini,” katanya.

Keadaan itu menyebabkan pengunjung perlu lebih berhati-hati ketika berjalan di sepanjang pesisir Pantai Geting, khususnya selepas aktiviti memancing pada malam Jumaat.

Sumber: Utusan

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!