Hasrat seorang lelaki untuk menjejakkan kaki ke Gua Hira di Makkah akhirnya terlaksana, namun perjalanan itu menjadi kunjungan terakhirnya apabila dia meninggal dunia ketika mendaki Jabal Nur.
Allahyarham Faeizad Mohamad, 38, ditemukan tidak bernyawa di laluan pendakian gunung berkenaan sekitar jam 11 malam waktu tempatan, ketika hampir tiba di Gua Hira.
Lebih menyentuh hati, lelaki itu dikatakan sudah beberapa kali menyuarakan keinginannya untuk mendaki Jabal Nur sebaik tiba di Tanah Suci pada 2 November lalu.
Pengarah Urusan II Halaqah Mukhlisin Travel & Tours Sdn Bhd, Nor Azita Zainal Abidin berkata, Allahyarham merupakan antara 33 jemaah umrah dari Malaysia yang menyertai rombongan berkenaan.
Menurutnya, Faeizad begitu teruja untuk melakukan pendakian itu sehingga meminta perjalanan ke Jabal Nur disegerakan selepas mereka selesai melakukan sabil atau sedekah makanan di Masjidil Haram.
"Memang Faeizad berkali-kali cakap mahu mendaki Jabal Nur sebaik tiba di Tanah Suci Makkah.
"Dia paling teruja, malah ketika kami melakukan sabil (sedekah makanan) di Masjidil Haram agak lewat sekitar jam 9.30 malam, dia minta segerakan perjalanan ke Jabal Nur.
"Dia kata mahu jejak ke puncak gunung itu pada malam Jumaat juga dan tidak sangka memang itu petanda pemergiannya," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Ditemukan selepas tidak kunjung tiba
Nor Azita berkata, kehilangan Faeizad mula disedari selepas seorang jemaah Malaysia yang sudah terlebih dahulu berada di Jabal Nur turun untuk mencarinya.
Jemaah berkenaan kemudian ternampak sekumpulan orang ramai, termasuk jemaah umrah dari Turkiye, sebelum mengecam warna pakaian dan selipar milik Allahyarham.
Berasa tidak sedap hati, dia segera menghubungi petugas syarikat, Ustaz Fariduddin Mohd Nasir.
Ketika tiba di lokasi, Ustaz Fariduddin mendapati Faeizad sudah meninggal dunia sebelum memaklumkan perkara itu kepada Nor Azita untuk tindakan lanjut.
Pasukan paramedik dan polis kemudian tiba selepas menerima maklumat, manakala urusan membawa keluar jenazah selesai sekitar jam 3 pagi.
Laporan perubatan sahkan kecederaan parah di kepala
Menurut Nor Azita, laporan perubatan mengesahkan kematian Faeizad berpunca daripada kecederaan parah di bahagian kepala.
Bagaimanapun, urusan pengebumian masih belum dapat diselesaikan ketika itu kerana pihak berkuasa perlu menjalankan siasatan bagi memastikan tiada unsur jenayah.
Keluarga Allahyarham hanya dibenarkan melawat jenazah pada keesokan paginya selepas selesai solat Subuh.
Nor Azita berkata, urusan berkaitan kematian itu turut dibantu pihak muassasah di Makkah, termasuk proses mendapatkan sijil kematian sebelum rombongan dijadualkan pulang ke Malaysia pada 13 November ini.
Isteri sedang hamil, keluarga masih terkejut
Pemergian Faeizad memberi kesan mendalam kepada ahli keluarga, khususnya ibu dan isterinya yang kini sedang hamil.
Nor Azita berkata, Allahyarham seorang yang sihat serta aktif dalam sukan mendaki, menyebabkan keluarganya tidak menyangka kejadian menyedihkan itu berlaku.
Malah, keluarga pada awalnya lebih bimbang terhadap bapa mentua Allahyarham yang turut menyertai pendakian malam itu kerana mempunyai masalah asma.
Menurutnya, pemergian Faeizad turut dirasai jemaah lain, termasuk kumpulan dari Turkiye yang berada di lokasi dan menemani perjalanan terakhir Allahyarham.
"Jemaah Malaysia dan Turkiye turut berasakan pemergian Faeizad sebagai husnul khatimah kerana dia meninggal dunia di lokasi Rasulullah SAW menerima wahyu pertama," katanya.
Sumber: Harian Metro
