Adik OKU Mental Angkut Air Dalam Baldi Rupanya Mahu Padam Rumah Terbakar

Seorang wanita tidak menyangka tindakan adik lelakinya yang berulang kali mengangkut air menggunakan baldi rupa-rupanya kerana cuba memadam kebakaran rumah pusaka keluarga mereka di Kampung Semut Api, Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB), Kota Bharu.

Kejadian kira-kira jam 7.30 pagi tadi itu menyebabkan rumah berkenaan yang didiami lelaki berusia 45 tahun itu hangus kira-kira 80 peratus.

Kakak mangsa, Norma Ismail, 56, berkata, dia pada mulanya menyangka adiknya sedang mengangkut air untuk membersihkan najis biri-biri yang dipelihara keluarga mereka.

Menurutnya, dia tidak menyedari rumah pusaka peninggalan ibu bapa mereka yang terletak bersebelahan kediamannya sedang terbakar kerana kedudukannya agak terlindung.

"Saya nampak adik angkut air dalam baldi beberapa kali dan bertanyakan untuk apa, sebelum dia jawab nak bersihkan najis biri-biri. Rupa-rupanya dia nak padam rumah yang sedang terbakar," katanya ketika dihubungi.

Norma berkata, ketika kejadian dia sedang memasak sebelum dimaklumkan jiran mengenai kebakaran itu.

Tidak lama kemudian, mereka terdengar bunyi letupan kecil sebelum terlihat asap keluar dari rumah berkenaan.

Katanya, bapa mereka turut cuba membantu memadamkan api, namun keadaan ketika itu sudah tidak terkawal.

Adik Hilang Selepas Kebakaran

Norma berkata, adik lelakinya mempunyai masalah kesihatan mental sejak hampir 15 tahun lalu dan pernah mendapatkan rawatan di hospital, namun tidak mengambil ubat secara konsisten.

Menurutnya, lelaki itu sebenarnya menjaga rumah pusaka berkenaan dengan baik, tetapi mempunyai tabiat suka bermain api dan membakar sampah.

"Dia suka bakar sampah dan main api. Waktu (kesihatan) dia baik, dia akan sapu sampah dan bakar (sampah) jadi keadaan rumah memang bersih.

"Cuma untuk kebakaran ini tak pasti sama ada berpunca dari perbuatannya atau tak, kerana sebaik api tak dapat dikawal, adik terus melarikan diri sehingga kini," katanya.

Rumah Musnah 80 Peratus

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Zuzuki Safei berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.12 pagi sebelum bergegas ke lokasi.

Menurutnya, sebaik tiba, anggota bomba mendapati kebakaran membabitkan sebuah rumah separuh kekal dengan kemusnahan dianggarkan 80 peratus.

"Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Sumber: Berita Harian

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!