Pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus (UAI) menjelaskan bahawa perkahwinan kedua yang dilakukan secara rahsia tanpa pengetahuan isteri pertama tetap sah di sisi syarak sekiranya memenuhi rukun dan syarat nikah.
Bagaimanapun, beliau menegaskan suami yang berbuat demikian bakal memikul dosa yang berpanjangan kerana terpaksa hidup dalam penipuan bagi menyembunyikan kewujudan isteri kedua.
Menerusi satu ceramah yang tular di Facebook, UAI berkata Islam sememangnya membenarkan poligami, namun ia bukan alasan untuk seseorang bertindak sesuka hati sehingga mengabaikan kejujuran dan keadilan terhadap pasangan sedia ada.
Menurut beliau, antara dosa terbesar yang sering berlaku dalam situasi itu ialah amalan berbohong secara berterusan kepada isteri pertama.
"Mana tak dosa, setiap kali nak pergi rumah isteri kedua, dia kena menipu isteri pertama. Nikah itu sah, tapi dosa banyak."
UAI berkata, keadaan itu menyebabkan seseorang terpaksa memberikan pelbagai alasan seperti kononnya mempunyai urusan kerja atau mesyuarat sedangkan hakikatnya berada bersama isteri kedua.
Penipuan Berterusan Jejaskan Keberkatan
Tambah beliau, dosa yang dilakukan secara berterusan bukan sahaja menghakis keberkatan hidup, malah boleh menjejaskan hubungan kekeluargaan serta memberi kesan kepada isteri dan anak-anak.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan golongan suami supaya mengutamakan kejujuran dan berbincang secara matang dengan isteri pertama sebelum membuat keputusan untuk berpoligami.
Menurutnya, kebahagiaan rumah tangga tidak seharusnya dibina atas penipuan kerana poligami yang disertai sifat amanah dan tanggungjawab lebih dekat dengan tuntutan agama berbanding sekadar memenuhi kehendak diri.
Ikuti video penjelasan UAI dibawah
SHARE:
