Baru 9 Tahun, Ahmad Ziyyad Dari Kelantan Berjaya Hafaz 30 Juzuk Al-Quran Dalam 4 Bulan

Usianya baru sembilan tahun, namun pencapaiannya cukup mengagumkan apabila berjaya menghafaz 30 juzuk Al-Quran dalam tempoh empat bulan.

Ahmad Ziyyad Mohd Zahir, kanak-kanak berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu mencuri perhatian selepas kisah hafazannya dikongsikan menerusi laman Facebook Akademi Al-Quran Amalillah (AKMAL).

Di sebalik kejayaan tersebut, tersimpan kisah menarik tentang minatnya terhadap Al-Quran sejak bayi, kesungguhan ibu bapanya serta usaha berterusan yang dilakukan bagi membantunya mencapai impian bergelar hafiz.

Sejak bayi sudah menunjukkan minat terhadap Al-Quran

Ibu Ahmad Ziyyad, Nurul Shahida Lukman, 35, berkata anak sulung daripada tiga beradik itu sudah menunjukkan minat luar biasa terhadap Al-Quran sejak kecil.

Malah, ketika berusia dua tahun lapan bulan, Ahmad Ziyyad dilaporkan mampu menghafal 42 surah, termasuk surah panjang seperti Al-Baqarah dan Al-A'raf, hanya menerusi pendengaran.

Nurul Shahida berkata, dia mula menyedari minat anaknya apabila sering mendodoikannya dengan bacaan Al-Quran ketika bayi.

"Saya mula perasan Abe Yadd (Ahmad Ziyyad) minat pada al-Quran sejak bayi kerana saya sering mendodoikannya dengan bacaan al-Quran. Apabila tiba pada mana-mana ayat yang saya terlupa, dia akan menangis dan hanya diam apabila saya mulakan kembali alunan dari awal surah," kongsinya kepada Bernama.

Ibu bapa sanggup berpindah ke Terengganu

Bagi memberikan peluang terbaik kepada Ahmad Ziyyad, ibu bapanya mengambil keputusan berpindah sementara dari Kota Bharu ke Marang, Terengganu supaya anak mereka dapat mengikuti program hafazan intensif di AKMAL.

Menurut Nurul Shahida, jadual persekolahan yang padat sebelum itu menyebabkan perkembangan hafazan anaknya menjadi sedikit perlahan.

Mereka kemudian mencari program hafazan pantas sebelum menemui AKMAL pada 2024.

Walaupun akademi tersebut biasanya menerima pelajar berusia 10 hingga 15 tahun, Ahmad Ziyyad diberikan peluang menyertai program berkenaan ketika berusia sembilan tahun berdasarkan kemampuannya menghafaz ayat dalam tempoh singkat.

"Abe Yadd bersekolah di Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Al-Fateh Kota Bharu, tapi sayangnya disebabkan jadual persekolahan yang padat, hafalan al-Qurannya menjadi sedikit perlahan. Jadi kami membuat carian tentang program hafiz fast track untuk bantu dia maka terjumpalah Akademi Al-Quran Amalillah pada 2024.

"Akademi ini hanya terima pelajar berumur 10 hingga 15 tahun, namun dengan izin Allah, rezeki dia diterima masuk ke akademi tersebut semasa berusia sembilan tahun kerana kemampuannya menghafal beberapa potongan ayat dalam masa 10 minit sahaja, walhal kebanyakan pelajar lain memerlukan masa lebih panjang," katanya.

Mampu hafaz satu muka surat dalam 15 hingga 30 minit

Keupayaan Ahmad Ziyyad turut mendapat perhatian guru hafazannya, Nurfatihar Riduan.

Menurut beliau, Ahmad Ziyyad mampu menghafaz satu muka surat Al-Quran dalam tempoh 15 hingga 30 minit, bergantung pada tahap kerumitan ayat.

Malah, ada hari tertentu apabila kanak-kanak itu mampu memperdengarkan hafazan atau tasmi' sehingga satu juzuk penuh.

Bagi memastikan hafalannya kekal kukuh, Ahmad Ziyyad juga melakukan bacaan semakan atau murajaah antara dua hingga empat juzuk sehari.

"Ahmad Ziyyad sangat fokus dan serius pada sasaran hafazan hariannya. Ada hari tertentu dia boleh tasmi' satu juzuk penuh dalam sehari, manakala bacaan semakan atau mengulang pula mencecah dua hingga empat juzuk sehari.

"Yang paling menonjol ialah semangat luar biasa Ahmad Ziyyad sendiri serta sokongan hebat ibu bapanya yang sanggup berhijrah dari Kelantan ke Terengganu semata-mata untuk capai misi hafiz Ahmad Ziyyad," ujarnya.

Mempunyai hyperlexia dan hypernumeric

Nurul Shahida turut berkongsi bahawa Ahmad Ziyyad mempunyai hyperlexia dan hypernumeric, iaitu kebolehan mengenal huruf dan nombor lebih awal berbanding kebiasaan.

Menurut ibunya, Ahmad Ziyyad mampu mengenal pasti surah, nombor ayat dan muka surat ketika membaca Al-Quran.

Dia juga menunjukkan minat mendalam untuk mengkaji nama-nama Allah yang terdapat dalam kitab suci itu.

"Bila dia baca al-Quran, dia tahu ayat dari surah apa, ayat ke berapa dan di muka surat mana. Dia suka kaji nama-nama Allah dalam al-Quran dan boleh jawab kalau ditanya. Mungkin semua itu berkait dengan nombor, sebab dia memang minat nombor," ujarnya.

Ibunya turut menceritakan bahawa emosi Ahmad Ziyyad kadangkala tidak stabil dan dia mudah menangis. Bagaimanapun, selepas melalui keadaan tersebut, dia mampu meneruskan hafazan dengan lebih baik.

Bukan sekadar bergelar hafiz, perubahan akhlak turut membanggakan ibu

Selepas menamatkan hafazan, Ahmad Ziyyad kembali menyambung pengajian di SRITI Al-Fateh, Kota Bharu, sehingga darjah enam sebelum meneruskan proses syahadah, iaitu memperakui hafalan di hadapan panel.

Bagi Nurul Shahida, perkara paling membanggakan bukan sekadar kejayaan anaknya menghafaz keseluruhan Al-Quran, tetapi perubahan positif dalam keperibadiannya.

Antaranya, Ahmad Ziyyad mula menunaikan solat pada awal waktu tanpa perlu disuruh serta membiasakan diri melakukan amalan sunat seperti solat tahajud.

"Dari segi emosinya sebagai anak autistik juga sudah terkawal. Perangainya kini seperti kanak-kanak lain dan kami lihat dia semakin matang serta menjadi contoh terbaik buat adik-adiknya," tambah Nurul Shahida.

Kisah Ahmad Ziyyad membuktikan bahawa perjalanan menghafaz Al-Quran bukan hanya tentang kemampuan mengingati ayat, tetapi turut melibatkan disiplin, bimbingan guru dan sokongan keluarga.

Bagi ibu bapanya, pengorbanan berpindah ke negeri lain demi memberikan peluang terbaik kepada anak menjadi sebahagian daripada perjalanan yang akhirnya membuahkan hasil.

Sumber: Akademi Al-Quran Amalillah - AKMAL, Bernama

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!