Sebuah premis di Pusat Perdagangan Lagoon Perdana di Petaling Jaya yang dipercayai mempunyai kaitan dengan ajaran Syiah diserbu dalam satu operasi bersepadu pada Khamis malam.
Operasi tersebut melibatkan beberapa agensi penguat kuasa termasuk Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).
Operasi itu dijalankan pada jam 9.34 malam hasil maklumat awam yang diterima pihak berkuasa.
226 Individu Diperiksa Dalam Serbuan
Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, hasil pemeriksaan mendapati seramai 226 individu berada di dalam premis berkenaan. Mereka terdiri daripada 147 lelaki, 51 wanita dan 28 kanak-kanak
Kesemua individu yang diperiksa dilaporkan melibatkan warga Pakistan, India dan Bangladesh.
Notis Dikeluarkan, Siasatan Enakmen Syariah Dijalankan
Susulan pemeriksaan itu, MBSJ telah mengeluarkan Notis Pemberitahuan di bawah Subseksyen 72(1)(a) dan (c) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 berhubung beberapa ketidakpatuhan melibatkan pembinaan serta pengubahsuaian bangunan tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan.
Pemilik premis turut diberikan tempoh 14 hari untuk mematuhi kehendak notis berkenaan.
Dalam masa sama, tindakan juga dirujuk di bawah Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 melibatkan beberapa peruntukan termasuk siasatan berkaitan penghinaan pihak berkuasa agama, penyebaran pandangan bertentangan fatwa serta penerbitan yang bercanggah dengan hukum syarak, susulan aduan yang dikaitkan dengan ajaran Syiah.
Nasihat Kepada Orang Ramai
JAIS turut menasihatkan orang awam agar tidak terlibat dengan sebarang aktiviti yang bercanggah dengan ajaran Islam serta meminta kerjasama masyarakat menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan juga boleh menghubungi talian Hotline JAIS bagi tindakan lanjut.
Sumber: Sinar Harian
SHARE:
