Kegiatan memproses dan menjual air ketum yang dipercayai beroperasi sejak dua tahun lalu terbongkar selepas Pasukan Gerakan Am (PGA) menyerbu sebuah bangsal di kawasan semak Kampung Belukar, Pasir Mas.
Serbuan menerusi Op Taring Mitra kira-kira jam 1.15 tengah hari kelmarin membawa kepada penahanan dua lelaki berusia 25 dan 33 tahun serta rampasan 480 liter air ketum dan 127 kilogram daun ketum.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, operasi itu dijalankan anggota Risik Batalion 8 PGA Pengkalan Chepa bersama Risik Batalion 7 PGA Kuantan dengan bantuan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas.
Menurutnya, serbuan dilakukan hasil maklumat diterima dan selepas pasukan operasi membuat pemerhatian selama kira-kira 30 minit.
Ketika serbuan, dua lelaki terbabit dipercayai sedang membuka tong polistirena dan mengambil bungkusan plastik berisi cecair kehijauan yang disyaki air ketum.
Hasilkan Sehingga 500 Bungkus Sehari
Ahmad Radzi berkata, pemeriksaan lanjut menemukan 127 kilogram daun ketum dan 480 bungkusan air ketum bersamaan 480 liter.
Turut dirampas beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses air ketum, termasuk periuk, dua dapur memasak, tong gas dan lapan bekas polistirena.
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM20,770.
Menurutnya, lelaki berusia 33 tahun mengaku sebagai pemilik air ketum dan daun ketum berkenaan, manakala rakannya mengaku bekerja memproses air ketum.
Siasatan awal mendapati suspek utama mengaku menjalankan kegiatan memproses dan menjual air ketum sejak dua tahun lalu.
Lebih mengejutkan, suspek dikatakan mengupah beberapa pekerja dengan bayaran antara RM70 hingga RM80 seorang untuk kerja merebus dan membungkus air ketum.
Jual RM10 Sebungkus, Ada Lapan Rekod Lampau
Ahmad Radzi berkata, pengeluaran harian kegiatan itu dianggarkan antara 400 hingga 500 bungkusan dan jumlah berkenaan mampu dihabiskan dalam tempoh tiga hingga empat hari.
Air ketum berkenaan dijual secara runcit pada harga RM10 sebungkus, manakala harga borong ditetapkan RM8 sebungkus.
Suspek utama turut mempunyai lapan rekod lampau membabitkan pelbagai kesalahan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Sumber: Harian Metro
