Tembok “Dua Dalam Satu” diperlukan untuk selamatkan komuniti sempadan

PASIR MAS – Penduduk Rantau Panjang meminta kerajaan mempertimbangkan cadangan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berhubung pembinaan tembok keselamatan “dua dalam satu” bagi menangani risiko banjir serta meningkatkan kawalan keselamatan di sempadan.

Mereka berpandangan, tembok tersebut bukan sahaja boleh berfungsi sebagai benteng menahan limpahan air Sungai Golok setiap kali musim tengkujuh, tetapi juga membantu mencegah pencerobohan dan penyeludupan di kawasan sempadan Malaysia–Thailand.

Ancaman limpahan air yang berlaku hampir setiap tahun menyebabkan penduduk di kawasan rendah sering terjejas apabila rumah mereka ditenggelami air dan terpaksa menyimpan bekalan makanan sebagai persediaan sekiranya bantuan sukar disalurkan.

Seorang penduduk, Jasmin Hassan, 65, berkata pelaksanaan projek itu perlu disegerakan demi melindungi nyawa, harta benda dan kesejahteraan komuniti sempadan.

“Tanpa tembok keselamatan yang kukuh, masalah banjir dan keselamatan di sempadan tidak akan selesai. Saya sendiri sudah menyimpan makanan sebagai persediaan sekiranya bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat tidak dapat sampai ke sini,” katanya ketika ditemui di Kampung Lubok Jong, Rantau Panjang.

Jasmin berkata, keadaan menjadi lebih mencabar apabila arus deras Sungai Golok menyebabkan paras air naik dengan cepat hingga ke tingkat atas rumah.

Sementara itu, Wan Faizal Che Rajiun, 50-an, berkata pembinaan tembok keselamatan dapat membantu pihak berkuasa mengekang aktiviti penyeludupan dan kemasukan pendatang asing secara haram.

“Dengan adanya tembok keselamatan, ia dapat mengurangkan risiko jenayah dari negara jiran termasuk rompakan yang mengancam keselamatan penduduk tempatan,” katanya.

Penjual makanan, Ahmad Tarmizi Mustapha, turut menyokong pelaksanaan projek itu dan menyifatkannya sebagai langkah penting yang perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan.

“Tembok ini bukan sahaja mampu menjaga sempadan negara daripada dibolosi tetapi juga berpotensi mengurangkan risiko banjir di kawasan sempadan.

Kami berharap kerajaan mempercepatkan pelaksanaan projek ini demi keselamatan dan kesejahteraan komuniti sempadan,” katanya.

Tinjauan Bernama di beberapa kampung sempadan mendapati rata-rata penduduk senada dengan pandangan tersebut. Mereka menyatakan limpahan air Sungai Golok sering menjejaskan rumah, perniagaan dan jalan raya serta menimbulkan risiko keselamatan seperti penyeludupan dadah, senjata api dan kemasukan pendatang tanpa izin.

Di sebelah Thailand, kerajaan negara itu telah membina benteng sempadan yang bukan sahaja membantu kawalan keselamatan, malah menahan limpahan air yang kesannya menyebabkan peningkatan paras air ke arah Malaysia.

Sebelum ini, pada 13 Oktober lalu, Datuk Mohd Yusoff dilaporkan berkata pembinaan tembok keselamatan di sepanjang Sungai Golok di Rantau Panjang kini bukan lagi pilihan tetapi keperluan strategik bagi mengekang penyeludupan dan mempertahankan kedaulatan negara.



Beliau menjelaskan bentuk geografi Sungai Golok yang sempit dan cetek menyukarkan kawalan keselamatan secara konvensional walaupun dengan bantuan teknologi seperti dron, kamera litar tertutup (CCTV) dan kecerdasan buatan (AI).

#KelantanDaily
Sumber: Bernama

TERKINI

PRU16 Dijangka Diadakan Oktober Atau November Tahun Ini
|
PAS menjangkakan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan berlangsung…
PGA Rampas 8,800 Helai Kain Batik Seludup Bernilai RM1.76 Juta Di Tumpat
|
Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup masuk…
Kali Pertama Seludup Arak Dari Thailand, Dua Lelaki Dicekup PGA Di Rantau Panjang
|
Cubaan pertama dua lelaki untuk menyeludup masuk minuman keras…
Ketua Jurulatih Senegal Tegas Utamakan Kewajipan Solat
|
Ketika ramai pasukan memberi tumpuan sepenuhnya kepada persiapan menghadapi…
Rupanya Ini Sebab Bendera Arab Saudi Tidak Pernah Diletakkan Di Atas Padang Piala Dunia
|
Setiap kali aksi Piala Dunia 2026 berlangsung, perhatian peminat…
Istilah Rohingya Hanya Muncul Sekitar 1950an, Dari Mana Datangnya Etnik Ini Sebenarnya?
|
Istilah “Rohingya” hari ini dikenali di seluruh dunia sebagai…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!