Seorang anggota polis ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki meminta dan menerima wang rasuah kira-kira RM2,000 sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap individu yang terbabit dalam kes dadah.
Suspek yang berusia lingkungan 30-an itu kini direman selama lima hari bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.
Perintah reman sehingga Isnin dikeluarkan Majistret Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri di Mahkamah Majistret Gua Musang, pagi tadi.
Sebelum itu, lelaki berkenaan ditahan kira-kira jam 4 petang semalam ketika berada di sebuah restoran di sekitar Kelantan.
Disyaki sudah terima RM1,000 secara tunai
Siasatan awal mendapati suspek dipercayai meminta wang sebanyak RM2,000 daripada individu terbabit.
Bagaimanapun, setakat ini suspek disyaki telah menerima RM1,000 secara tunai.
Pengarah SPRM Kelantan, Datuk Syamsul Osman, mengesahkan penahanan anggota polis berkenaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Sumber: Berita Harian
