Seorang ketua balai polis direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan menerima rasuah RM500 sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap seorang warga asing.
Menurut laporan Bernama, perintah reman sehingga 26 Julai itu dikeluarkan Majistret Amirul Asyraf Abdul Rashid di Mahkamah Majistret Kota Bharu mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah selepas menerima permohonan daripada pegawai SPRM.
Suspek berusia 41 tahun itu dipercayai menerima wang rasuah berjumlah RM500 daripada seorang warga asing yang merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap individu berkenaan.
Pengarah SPRM Kelantan, Azmin Yusoff ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek pada jam 2.20 petang semalam.
Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Terdahulu, suspek yang memakai pakaian lokap berwarna jingga SPRM tiba di Kompleks Mahkamah Kota Bharu kira-kira jam 9 pagi dengan diiringi dua pegawai SPRM bagi permohonan reman.
Setakat ini, SPRM masih meneruskan siasatan bagi mengenal pasti keseluruhan fakta berkaitan kes berkenaan.
Sumber: Bernama
