Seorang pengurus projek sebuah syarikat pembinaan direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan meminta dan menerima rasuah kira-kira RM38,000.
Menurut laporan Bernama, wang itu dipercayai sebagai balasan membantu sebuah syarikat kontraktor mendapatkan projek bekalan air luar bandar di Kelantan.
Perintah reman bermula 4 Ogos hingga 10 Ogos terhadap lelaki berusia lingkungan 40-an itu dikeluarkan Majistret Amirul Asyraf Abdul Rashid.
Permohonan reman dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret 1, Kota Bharu pada pagi Isnin.
Menurut sumber, suspek ditahan kira-kira pukul 1 tengah hari pada Ahad ketika hadir untuk memberikan keterangan di pejabat SPRM Kelantan.
Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan berkenaan pada 2022 dengan meminta dan menerima wang daripada sebuah syarikat kontraktor.
Wang itu didakwa sebagai balasan membantu syarikat berkenaan mendapatkan projek bekalan air luar bandar secara rundingan terus daripada sebuah kementerian.
Suspek dipercayai menerima wang tersebut secara tunai dan melalui transaksi pemindahan ke akaun bank peribadinya serta beberapa akaun milik pihak ketiga.
Pengarah SPRM Kelantan, Azmin Yusoff mengesahkan penahanan berkenaan ketika dihubungi.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
Sumber: Bernama
