Selama ini, Nasi Kerabu Kelantan cukup dikenali dengan nasi berwarna biru, ulam-ulaman segar dan pelbagai lauk yang menjadikannya antara hidangan warisan paling ikonik negeri ini.
Namun, tidak semua orang mungkin tahu bahawa hidangan tradisional ini kini mempunyai identiti jenama yang dilindungi undang-undang.
Menerusi pendaftaran Cap Kolektif di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Nasi Kerabu Kelantan kini mempunyai piawaian tersendiri yang perlu dipatuhi oleh pengusaha yang mahu menggunakan cap berkenaan.
Antara perkara yang ditetapkan ialah penggunaan bahan asli seperti bunga telang sebagai pewarna semula jadi, selain ulam-ulaman dan herba tradisional seperti daun kesum, timun serta selom.
Penggunaan pewarna tiruan pula tidak dibenarkan. Malah, kubis dan tauge juga tidak dibenarkan dalam penyediaan nasi kerabu yang menggunakan identiti cap kolektif tersebut.
Ketua Pengarah MyIPO, Yusnieza Syarmila Yusoff berkata, usaha itu penting bagi memastikan keaslian dan identiti Nasi Kerabu Kelantan terus terpelihara.
"Kita mahu memastikan standard Nasi Kerabu Kelantan ini terus terpelihara dan tidak dicampur dengan bahan-bahan yang tidak menepati ciri yang ditetapkan," katanya.
Pendaftaran yang dibuat pada 29 Julai lalu itu turut membuka peluang kepada pengusaha tempatan untuk mengembangkan nilai komersial makanan warisan berkenaan.
Persatuan Pengusaha Nasi Kerabu Kelantan (PERMEKA) diberi tanggungjawab menguruskan cap kolektif itu bagi pihak 25 pengusaha terawal.
Untuk rekod, Nasi Kerabu Kelantan telah diiktiraf sebagai Objek Warisan Tidak Ketara Kebangsaan pada 2009.
Kini, usaha melindungi identitinya diteruskan pula melalui pendaftaran harta intelek supaya keistimewaan hidangan warisan ini terus dikenali dan mempunyai nilai komersial yang lebih tinggi.
Inisiatif berkenaan turut diharap dapat mendorong lebih banyak komuniti pengusaha tempatan melindungi identiti produk masing-masing.
Sumber: Bernama, Sinar Harian
