Siapa sangka dari seorang bekas jurutera kimia di PETRONAS kini menghabiskan masa menguruskan perniagaan makanan demi memperkenalkan keaslian nasi kerabu Kelantan.
Nor Azimah Binti Mohammad atau lebih mesra dikenali sebagai Kak Zimah merupakan pengusaha Kak Zimah’s Kitchen di Kampung Telaga Bata, Tumpat yang memberi tumpuan kepada hidangan tradisional negeri Cik Siti Wan Kembang itu.
Namun, apa yang menjadikan perniagaannya menarik bukan sekadar nasi kerabu yang dihidangkan, sebaliknya usaha untuk mengekalkan cara penyediaan dan penggunaan bahan asli dalam makanan warisan berkenaan.
Kak Zimah yang pernah bekerja sebagai jurutera kimia di PETRONAS berkata, beliau sebelum ini bertanggungjawab menguruskan pelbagai perkara berkaitan operasi loji, termasuk imbangan jisim, import dan eksport, penghantaran, gudang, inventori stok serta perancangan produk petroleum.
Beliau merupakan graduan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai dalam bidang kejuruteraan kimia.
Menurutnya, pengalaman bekerja dalam industri minyak dan gas banyak membantu menguruskan perniagaan makanan yang diusahakannya sekarang.
Walaupun bidang yang diceburi berbeza, prinsip menguruskan operasi, berurusan dengan orang ramai dan menyelesaikan masalah masih sama.
Mahu Perkenalkan Keaslian Nasi Kerabu Kelantan
Kak Zimah berkata, keputusan memilih nasi kerabu dibuat kerana beliau mahu mengangkat gastronomi makanan tradisional Kelantan kepada masyarakat di dalam dan luar negara.
Usahanya bukan hanya untuk menjual makanan, tetapi turut memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai bahan yang sepatutnya digunakan, cara penyediaan serta kaedah menikmati nasi kerabu asli Kelantan.
Antara keistimewaan hidangan di Kak Zimah’s Kitchen ialah penggunaan daun pitam atau daun pitey sebagai pewarna semula jadi nasi.
Menurutnya, daun berkenaan perlu dicari di kawasan hutan kerana bekalannya semakin berkurangan dan semakin sukar diperoleh.
Penggunaan daun itu menghasilkan warna ungu pada nasi tanpa bergantung kepada pewarna makanan biasa.
Selain itu, nasi kerabu yang disediakan turut menggunakan pelbagai ulam tradisional seperti pucuk daun samut, pucuk putat dan pucuk gajus.
Bahan-bahan berkenaan juga bukan mudah diperoleh kerana sesetengahnya bergantung kepada musim dan tidak sentiasa tersedia di pasar.
Namun, kesukaran mendapatkan bahan tidak mematahkan semangat Kak Zimah untuk terus mengekalkan resipi dan penyediaan yang dianggapnya sebagai identiti nasi kerabu asli Kelantan.
Guna Sehingga 2,000 Bunga Kantan Seminggu
Satu lagi perkara menarik ialah jumlah bunga kantan yang digunakan dalam penyediaan hidangannya.
Kak Zimah memaklumkan, beliau menggunakan kira-kira 1,000 hingga 2,000 kuntum bunga kantan setiap minggu.
Penggunaan bahan dalam jumlah besar itu menggambarkan usaha yang diperlukan untuk menyediakan hidangan berkenaan dengan bahan-bahan tradisional.
Kini, nasi kerabu keluaran Kak Zimah’s Kitchen turut mendapat pelanggan di luar Kelantan apabila beliau menghantar hidangan berkenaan dari Kelantan ke Kuala Lumpur hampir setiap hari.
Dalam masa sama, Kak Zimah turut mengajak pelancong dari Malaysia dan luar negara supaya datang sendiri ke Kelantan untuk menikmati makanan tradisional negeri ini.
Beliau berpendapat, Kelantan bukan sahaja mempunyai tempat-tempat menarik, budaya dan warisan tersendiri, malah turut menawarkan pelbagai pilihan makanan yang menyelerakan pada harga berpatutan.
Kak Zima berharap lebih ramai orang dapat mengenali dan merasai sendiri nasi kerabu asli Kelantan, khususnya hidangan nasi kerabu daun pitey keluaran Kak Zima’s Kitchen.
Sumber: Makan Sedap
